PHNOM PENH, 20 JUN – Hujan lebat telah menyebabkan banjir di lima wilayah di Kemboja, dengan kira-kira 927 hektar sawah padi rosak. Wilayah Kampung Thom dilaporkan mengalami banjir paling teruk.
Kelmarin, Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan melaporkan wilayah Takeo, Preah Vihear, Kampung Thom, Pursat dan Banteay Meanchey terjejas, dengan 813 hektar di daerah Prasat Sambor, Kampung Svay, Sandan, Stoung dan Santuk di Kampung Thom rosak, serta 114 hektar di wilayah Banteay Meanchey.
Setiausaha Negara kementerian itu, Touch Bun Hour, telah mengetuai satu pasukan kerja untuk meninjau situasi banjir di Kampong Thom pada 18 Jun.
Menurut penilaian kerosakan, sawah milik 2,082 keluarga telah terjejas.
“Secara keseluruhan, padi yang rosak akibat banjir musim hujan awal itu terdiri daripada varieti luar musim atau bukan varieti padi utama, yang kebanyakannya ditanam di lembangan takungan dan tasik semula jadi, antara akhir Mac hingga April,” katanya.
“Musim hujan tahun ini membawa hujan lebat bermula April, menyebabkan paras air tasik meningkat dengan cepat, menenggelamkan sawah padi yang sedang berbunga dan matang.
“Banjir berpanjangan ini telah mengakibatkan kerosakan tanaman yang meluas,” tambahnya.
Beliau menggesa pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan berkaitan agar bersiap sedia dengan langkah tindak balas bencana untuk menangani situasi yang sedang berlaku. – ANN/The Phnom Penh Post


