Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanda kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Dengan ulang tahun hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang semakin dekat, majlis-majlis keagamaan dan dikir semakin digiat diadakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara.

    Dalam pada itu, rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya malam ini mengadakan Majlis Dikir Maulud bertempat di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Majlis dimulakan dengan menunaikan sembahyang Fardu Maghrib secara berjemaah dan seterusnya dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis dan diikuti dengan bacaan dikir yang dibawakan oleh kumpulan dikir Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) serta Kumpulan Dikir KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Majlis turut disertai oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap KHEDN, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan, kakitangan di KHEDN, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, ahli-ahli MPK dan ahli-ahli takmir Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong serta penduduk sekitarnya.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa menghadiri Majlis Penutup Dikir Maulud di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong.
    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa menghadiri majlis dikir di Surau Kampung Piasau-Piasau di Daerah Temburong.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan wakaf bagi kegunaan masjid tersebut.
    Awang Ali Hassan semasa mendengar tazkirah yang disampaikan oleh pegawai agama dari PDI pada majlis tersebut.
    ATAS&BAWAH: Antara jemaah yang menyemarakkan majlis dikir di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong.

    Antara jemaah yang menghadiri majlis berdikir yang diadakan di Balai Ibadat Kampung Semabat, Daerah Temburong.

    Sementara itu, rombongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) turut mengadakan majlis dikir yang diadakan di Surau Kampung Piasau-Piasau di Daerah Temburong kelmarin.

    Majlis telah dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib secara berjemaah dan kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Acara diteruskan dengan Dikir Assalammualaika, Dikir Badat dan Dikir Asyrakal yang dibawa oleh jemaah Surau Kampung Piasau-Piasau dan pegawai dan kakitangan KKBS dan seterusnya bacaan Doa Dikir dan doa pelindung daripada wabak COVID-19.

    Majlis berakhir dengan sembahyang Fardu Isyak secara berjemaah  dan diselajurkan dengan penyerahan wakaf yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Majlis turut dihadiri oleh ahli MMN, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap, Pengiran Haji Mohammad Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Dalam majlis yang berasingan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Temburong telah mengungkayahkan majlis dikir bagi rombongan PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama golongan mualaf berserta penduduk sekitar Kampung Semabat, Daerah Temburong pada majlis yang diadakan di Balai Ibadat Kampung Semabat, Daerah Temburong.

    Hadir mengetuai rombongan tersebut ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat I, PDI, Awang Ali Hassan bin Mohd Said.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh ketua rombongan dan diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh pegawai agama dari PDI, Awang Muhammad Nasyith bin Superi.

    Majlis dikir tersebut diadakan adalah untuk menggalakkan golongan mualaf untuk melibatkan diri mengikuti aktiviti atau majlis keagamaan dan membesarkan hari-hari kebesaran Islam. Majlis seumpamanya juga dapat melahirkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW selain mendekatkan diri kepada Allah SWT.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda