Saturday, February 22, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanda kasih rakyat kepada raja

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Majlis Membaca Surah Yasin 50 kali Setiap Seorang sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang merupakan inisiatif Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Buloh (MKSB) telah mendapat sambutan yang di luar jangkaan.

    Ini sekali gus membuktikan aktiviti keagamaan itu sebagai sokongan padu kasih rakyat khasnya jemaah MKSB dan kawasan sekitarnya.

    Majlis yang diadakan bagi menzahirkan rasa puji dan syukur kehadrat Allah S.W.T atas limpah dan rahmatNya dan sebagai tanda kasih rakyat kepada raja yang disayangi itu telah berakhir malam tadi dengan majlis penutup yang berlangsung di masjid berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

    Di majlis itu, tetamu kehormat turut menyampaikan sijil kepada ketua-ketua kumpulan peserta yang mewakili Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri, Masjid Kampung Sungai Buloh, Masjid Kampung Perpindahan Serasa, Masjid Setia Ali Pekan Muara, Masjid Kampung Kapok, Masjid Kampung Mentiri, Masjid Kampung Sungai Besar, Masjid Kampung Sungai Bunga dan Kumpulan Meraih Berakah.

    Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan cenderahati kepada Pengiran Haji Merali yang membaca Surah Yasin sebanyak 500 kali.
    Sebahagian peserta lelaki pada Majlis Penutup Membaca Surah Yasin 50 kali Setiap Seorang.
    Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bergambar ramai bersama Muslimah MKSB.

    Majlis juga menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan Anugerah Penghargaan Peserta yang membaca Surah Yasin sebanyak 500 kali kepada Pengiran Haji Merali bin Pengiran Ismail.

    Imam MKSB, Pengiran Haji Mohd Lizam Pengiran Haji Merali berkata, majlis berkenaan juga merupakan peluang untuk merebut ganjaran Fadilat daripada membaca Surah Yasin yang mempunyai ganjaran hebat kepada pembacanya.

    “Kita niatkan bagi memohon hajat agar kitani semua mendapat syafaat dari keberkatan surah berkenaan yang akan dilimpahkan khusus kepada Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha agar kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan taufik dan hidayah Allah S.W.T,” jelasnya.

    Seterusnya, membaca Surah Yasin itu juga diniatkan bagi kesejahteraan Negara Brunei Darussalam dan diniatkan bagi pembaca itu sendiri.

    Majlis berkenaan telah dibuka rasmi pada 12 Oktober lalu dan disertai lebih 400 orang peserta yang mewakili Muslimin dan Muslimah dari MKSB dan masjid-masjid kawasan Zon 2 A.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda