Tanda kenangan daripada batu kerakal

TAIPEI – Daripada huruf China kepada objek tradisional Penduduk Asli, artis Wu Rong-bi telah menjual batu kerakal berlukis di tepi jalan Taiwan sejak 40 tahun lalu.

Diberi nama gelaran ‘Pak Batu’ oleh peminatnya, artis jalanan berusia 64 tahun ini mula melukis batu kecil sebagai hadiah Krismas untuk pelajarnya apabila beliau bekerja sebagai guru.

Idea tersebut menjadi popular dan beliau seterusnya mengambil dan lulus satu ujian untuk menjadi penghibur muzik jalanan berlesen di Taipei.

Wu melihat lukisannya lebih daripada perhiasan, sebaliknya mereka merupakan satu cara untuk menyampaikan ucapan selamat kepada pelanggannya.

“Saya sentiasa memberitahu mereka bahawa terdapat konsep yang positif di sebalik setiap batu dan saya berharap mereka mendapati batu berkenaan sedikit sebanyak membantu dalam kehidupan mereka,” beritahunya kepada AFP di gerainya di luar sebuah gedung membeli-belah di Taipei.

Batu berwarna-warni yang dilukis oleh artis Wu Rong-bi dipamerkan di tepi jalan di Taipei. – AFP

Salah satu corak popular yang dilukis oleh beliau adalah daun tumbuhan ginkgo. Dalam Bahasa Mandarin, pokok tersebut dikenali sebagai ‘yin hsin’, satu frasa yang juga bermakna mendoakan kebahagiaan untuk seseorang.

Batu kerakal lain mempunyai lukisan ikan, satu simbol positif dalam budaya Cina disebabkan perkataan untuk ikan juga kata sebunyi untuk kemakmuran atau kemewahan.

Sesetengah ciptaan menerima inspirasi daripada objek tradisional Penduduk Asli, kedua-duanya dari komuniti penduduk asli Taiwan dan juga dari luar negara.

“Budaya Penduduk Asli di seluruh dunia mempunyai konsep yang sama dan lukisan saya adalah berdasarkan objek tradisional yang melambangkan kehidupan,” kata beliau.

Majoriti penduduk Taiwan terdiri daripada Han China, dengan dua peratus berasal daripada puak penduduk asli asalnya.

Kebanyakan sarjana menganggap Taiwan dan sebahagian kawasan di Asia Tenggara sebagai sumber asli Austronesia, yang termasuk penduduk di Pasifik dan Asia Tenggara, serta penduduk Maori New Zealand dan Polynesia di Hawaii.

Seperti kebanyakan komuniti penduduk asli, penduduk asli di Taiwan mengalami kemusnahan budaya dan ekonomi sebaik sahaja peneroka menetap di kawasan pesisir pulau mulai abad ke-17. – AFP