Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanda manifestasi Taman Permata Hijau

    Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani, Sim Y.H. & Infofoto

    TEMBURONG, 27 JULAI – Setelah Daerah Tutong mempersembahkan persembahan khas mereka, kini tiba giliran bagi Daerah Temburong pula untuk mengetengahkan persembahan khas yang membawa tema ‘Raja Kesayangan Rakyat’ bersempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bercemar Duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong yang berlangsung di Kawasan Padang Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong, hari ini.

    Tema persembahan menggambarkan kedaulatan, kewibawaan serta ketinggian peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia selaku peneraju kepimpinan negara yang mengangkat keupayaan bangsa dan rakyat dalam sama-sama berusaha mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Di samping itu, keadilan, kebijaksanaan kepimpinan Baginda sebagai raja yang berhemah tinggi merupakan pencetus idea-idea baharu yang mengangkat dan memartabatkan nilai-nilai intelektualisme bangsa. Seterusnya pemberi semangat dan ilham ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan negara.

    Di samping usaha dan perpaduan rakyat dengan menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi berterusan menyokong wawasan baginda yang amat besar dan bermakna untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dilaksanakan dengan penuh keberanian dan iltizam.

    Dengan kepimpinan berteraskan Islam sebagai agama rasmi negara yang berlandaskan ajaran-ajaran Ahli Sunnah Wal-Jama’ah, taraf kemajuan dan perkembangan dalam kehidupan rakyat terutama dalam aspek sosial, budaya, politik, pendidikan, agama, ekonomi dan sebagainya jelas memperlihatkan kejayaan kepimpinan Baginda dalam memantapkan peradaban bangsa. Kedaulatan negara tetap terpelihara sesuai dengan falsafah negara, Melayu Islam Beraja. Baginda merupakan seorang pemimpin Islam yang masyhur kerana memiliki sifat pemedulian, adil, dermawan, digalati dan dihormati serta menjadi seorang raja yang amat disanjung tinggi oleh segenap lapisan rakyat Negara Brunei Darussalam. Selain itu, Baginda adalah seorang raja yang amat dikasihi dan disayangi rakyat.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-75 di Kawasan Padang Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong, kelmarin.
    Baginda Sultan berkenan menandatangani plak dan menerima pesambah buku Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien: Menyatukan Brunei dan Rakyat yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri dengan kolaborasi BIBD.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah semasa berkenan berangkat ke majlis junjung ziarah bersama penduduk Daerah Temburong.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar ramai bersama peserta yang mengambil bahagian dalam majlis tersebut.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan bergambar ramai bersama ahli Persatuan Pertiwi Daerah Temburong.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan beramah mesra bersama para peserta yang terlibat dalam persembahan.

    Antara yang dipersembahkan dalam persembahan khas bersempena keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong.

    Persembahan yang membawa konsep ‘Taman Permata Hijau’ itu mengambil masa kira-kira 10 minit dan disertai oleh seramai 375 orang peserta terdiri daripada koir, peserta persembahan khas, peserta hadrah, peserta pembawa bendera dan pancaragam Polis Diraja Brunei.

    Persembahan khas pada tahun ini adalah sebagai manifestasi ‘Taman Permata Hijau’, yang menggambarkan kesejahteraan, kedamaian dan keindahan serta keaslian dan keunikan Daerah Temburong di bawah kepimpinan dan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Baginda amat mementingkan pembangunan dan kemajuan daerah ini dan amat prihatin terhadap kebajikan dan kemaslahatan rakyat dan penduduk di daerah ini dengan perancangan pembangunan dan kemajuan Daerah Temburong dalam segala aspek merangkumi pendidikan, keagamaan, kesihatan, ekonomi, perhubungan, struktur pembangunan, kebudayaan dan sebagainya.

    Perisian persembahan juga sebagai manifestasi bahawa Baginda Sultan merupakan permata kesayangan seluruh rakyat. Kasih sayang rakyat terhadap Baginda tiada bandingannya.

    Di mana pun jua Baginda berangkat dan bersama rakyat, kegembiraan, kemesraan dan keceriaan pasti akan terserlah. Baginda dikagumi sebagai ‘Intan Jauhari’ yang ‘Laila Bestari’.

    Kehijauan Daerah Temburong yang diberi jolokan sebagai ‘Permata Hijau Brunei Darussalam’, kaya dengan flora dan fauna sebagai sumber dan aset penting pelancongan negara.

    Daerah Temburong memiliki kehijauan dan kekayaan khazanah yang amat penting untuk dipelihara kelestariannya agar dapat dinikmati oleh generasi seterusnya.

    Dengan sempurnanya pembinaan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, apatah lagi menjadi salah satu lagi mercu tanda kemajuan dan kemegahan negara sebagai jambatan terpanjang di Asia, menjadi harapan dan cita-cita Baginda dan rakyat di negara ini, dapat menaik taraf kehidupan dan kemajuan Daerah Temburong khususnya dan Negara Brunei Darussalam umumnya.

    Persembahan itu dibahagikan kepada tiga segmen di mana Segmen 1 mengetengahkan lagu ‘Temburong Bisai’, Segmen 2 mengetengahkan lagu ‘Joget Laila Bahagia’ dan Segmen 3 mengetengahkan lagu ‘Indah Permata Hijau’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda