Oleh Yusrin Junaidi
TEMBURONG, 20 Julai – Daerah Temburong tidak ketinggalan menyembahkan taat setia dan bersama-sama memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat hari ini.
Cuaca panas terik pada waktu pagi tidak menjadi penghalang dan mematahkan semangat ribuan penduduk Daerah Temburong untuk bersama-sama berkumpul menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja bercemar duli di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Temburong.
Selain penduduk tempatan yang menjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda Sultan, warga asing turut tidak ketinggalan bersemuka dengan Baginda Sultan termasuklah Alex Annice dari United Kingdom yang tidak menyangka dapat menyaksikan secara dekat majlis junjung ziarah itu.
Menurutnya, acara hari ini sangat unik dan dia merasa terharu melihat raja negara ini sangat rapat dengan rakyatnya dan juga prihatin terhadap rakyat dan penduduknya.
Beliau berkata, “Baginda Sultan merupakan seorang pemimpin yang sangat memeduli dan prihatin kepada semua rakyat dan penduduk di negara ini, dan ia menjadikan Baginda Sultan sangat berbeza daripada para pemimpin dunia yang lain.”

Manakala penduduk tempatan, Dayang Salmiah binti Haji Ahmad, turut melahirkan kegembiraan dan berbesar hati atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Daerah Temburong, memberikan kesempatan kepada keluarganya bertemu dan bersua muka bersama Baginda Sultan dengan lebih dekat lagi.
“Kami sangat gembira menyambut keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Daerah Temburong. Acara hari ini sangat meriah dan dengan keberangkatan Baginda Sultan menambahkan lagi keceriaan rakyat dan penduduk di daerah ini,” kata Hajah Jamidah binti Haji Salleh, warga emas dari Bangar Baru, Temburong.
Media Permata juga berkesempatan menemu bual Penolong Guru Besar Sekolah Persediaan Arab Temburong, Dayang Hashidah binti Haji Awang, yang menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana memberikan peluang kepadanya sekali lagi untuk me nyertai pengibaran bendera bersama 80 pelajar Tahun 5 dan 8.
“Kami merasa sangat seronok menyertai acara yang cuma diadakan sekali dalam setahun ini dan merupakan salah satu peluang untuk bersua muka dengan Baginda Sultan, bersama-sama memeriahkan Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah ini.
Manakala Guru Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi, Awang Mohd Zoolfadhli bin Haji Mahbub, turut merafakkan sembah ucapan Selamat Hari Keputeraan kepada Baginda Sultan dan sentiasa mendoakan Baginda sentiasa dilindungi dan dianugerahkan rahmat.
“Kami tidak pernah merasa jemu apabila menyertai pengibaran bendera sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana acara ini sangat jarang dilihat dan ia juga adalah peluang keemasan bagi para pelajar dan guru untuk menyertainya,” tambahnya.
Bagi Dayang Ezzah Ezzaty binti Haji Rafiee, yang merupakan ahli Persatuan Pengakap Daerah Temburong, menyuarakan rasa seronok dan teruja dapat beramah mesra dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-71 ini dan menyertai perhimpunan besar itu.