Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanda penghargaan, iktiraf penderma darah

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2025 bermatlamat bukan sahaja untuk merakamkan penghargaan dan mengiktiraf penderma darah sukarela yang telah menyumbang secara signifikan kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini tetapi juga untuk mencapai pelbagai matlamat.

    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    Matlamat-matlamat berkenaan termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan menderma darah dan plasma serta impak positifnya terhadap kesejahteraan pesakit, menggalakkan penderma darah yang baru mahupun sedia ada untuk menderma darah secara aktif demi memastikan bekalan darah yang mencukupi dan mampan, mengetengahkan impak positif pendermaan darah kepada kesihatan dan kesejahteraan orang lain dan mempromosikan nilai-nilai perpaduan dan belas kasihan melalui pendermaan darah serta menggalakkan sokongan berterusan daripada agensi-agensi kerajaan dan rakan-rakan kongsi untuk terus bekerjasama ke arah program darah kebangsaan yang mampan, bagi mencapai akses universal kepada pemindahan darah yang selamat.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2025 yang membawa tema dan slogan, Derma Darah, Beri Harapan: Bersama Kita Membantu Menyelamatkan Nyawa.

    Beliau dalam perutusannya menyatakan aktiviti-aktiviti dan kempen pendermaan darah rancak diadakan secara berterusan di Negara Brunei Darussalam.

    Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan, institusi-institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelaraskan dan mengendalikan kempen-kempen pendermaan darah di semua daerah di negara ini.

    Pada 2024, Pusat Pendermaan Darah telah mencatat sebanyak 17,380 kutipan darah yang disumbangkan oleh 13,393 orang penderma darah, termasuk 3,774 orang penderma darah baru yang berdaftar.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham berkata bahawa Negara Brunei Darussalam telah mencapai kadar pendermaan darah sebanyak 2.9 peratus pada 2024 sejajar dengan trend pencapaian yang konsisten sejak 2014.

    “Pencapaian ini adalah juga seperti yang telah disarankan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pencapaian tahunan jumlah penderma darah dalam lingkungan 1-3 peratus dari jumlah keramaian penduduk bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan.”

    Dalam memastikan pencapaian itu sentiasa dikekalkan, tambah Yang Berhormat Dato, Pusat Pendermaan Darah akan terus proaktif dalam mempelawa dan menggalakkan penganjuran kempen-kempen pendermaan darah secara sukarela dengan tujuan bagi memperkasakan dan memperluaskan lagi aktiviti seumpamanya.

     Di samping itu, Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan tabung-tabung darah di semua hospital daerah juga terus berusaha untuk menyediakan bekalan darah dan produk darah yang mencukupi dan selamat, yang merupakan salah satu komponen yang penting dalam memastikan keberkesanan sistem kesihatan di Negara ini.

     Terdahulu dalam perutusannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyatakan Hari Penderma Darah Sedunia disambut setiap tahun di seluruh dunia pada setiap 14 Jun sebagai satu inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keperluan darah dan produk darah yang selamat dan mampan.

     Sambutan itu bertujuan untuk menzahirkan penghargaan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua para penderma darah yang menderma secara sukarela, yang telah menyumbangkan darah mereka yang sangat bernilai untuk menyelamatkan nyawa insan-insan yang memerlukan, tanpa mengharapkan sebarang balasan.

     Beliau menyatakan pada 2025, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bersama rakan-rakan kongsi serta seluruh komuniti global bersatu meraikan Hari Penderma Darah Sedunia yang membawa tema dan slogan, Derma Darah, Beri Harapan: Bersama Kita Membantu Menyelamatkan Nyawa, yang mengetengahkan impak sumbangan penderma darah yang telah membawa perbezaan yang besar dan memberikan anugerah kehidupan dengan membawa harapan baru kepada golongan yang memerlukan di mana setiap satu kehidupan adalah berharga dan layak diselamatkan.

     Tema itu juga bermatlamat untuk meraikan aktiviti kemanusiaan dalam meningkatkan perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat supaya kekal bersatu dan bertanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa melalui pendermaan darah tanpa mengira budaya, agama dan bangsa.

     Kempen itu juga diharap dapat memberi inspirasi kepada orang ramai yang layak khususnya golongan belia, untuk mula menderma darah dengan mengetengahkan kisah individu yang telah diselamatkan melalui pemindahan darah serta pengalaman peribadi daripada para penderma sendiri.

     Seterusnya dalam perutusan berkenaan, Yang Berhormat Dato menerangkan Kementerian Kesihatan dalam memastikan akses universal kepada pemindahan darah yang selamat di negara ini, sebuah projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Kedua Belas (RKN12) dalam pembinaan Pusat Darah Kebangsaan (National Blood Centre) telah pun diluluskan.

     Pusat itu akan menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi menempatkan sebuah suite pendermaan darah termasuk ruang pemeriksaan berasingan dan ruang rehat yang khusus bagi meningkatkan aksesibiliti penderma darah dan keramaian penderma walk-in.

     Disamping itu, pusat berkenaan akan dilengkapkan dengan fasiliti Makmal yang terlibat dalam pendermaan darah ‘centralised laboratories for blood donation testing’ seperti Makmal Saringan Pendermaan Darah, Makmal Pemprosesan Darah, Makmal Pemeriksaan Kualiti Darah serta ruang penyimpanan bekalan darah yang lebih teratur mengikut piawaian antarabangsa.

     Kementerian Kesihatan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap penderma darah di Negara Brunei Darussalam iaitu wira-wira yang telah menyumbangkan masa dan tenaga secara sukarela demi untuk membantu menyelamatkan pesakit-pesakit yang memerlukan.

     Kementerian Kesihatan juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi Kerajaan, institusi pendidikan, pasukan-pasukan berseragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu perseorangan yang turut sama terlibat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan menganjurkan kempen-kempen derma darah selama ini.

    “Tidak juga dilupakan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Tabung-Tabung Darah di Jerudong Park Medical Centre, Hospital Suri Seri Begawan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam di atas usaha yang berterusan dan tidak henti-henti dalam memastikan bekalan darah yang selamat sentiasa mencukupi. Semoga segala sumbangan iklas dan budi baik akan mendapatkan balasan dari Allah Subhanahu Wata’ala jua.”

     Yang Berhormat Dato menyarankan sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia, supaya kita bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perpaduan dan semangat kebersamaan dalam usaha memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi dan selamat melalui aktiviti-aktiviti pendermaan darah secara sukarela dan berterusan. “Hanya dengan ini, akses kepada bekalan darah yang mencukupi dan tepat pada masanya akan dapat terus dinikmati oleh para pesakit yang memerlukannya.”

     “Saya juga menyeru dan menggalakkan individu yang belum pernah menderma darah untuk tampil dan menyertai usaha mulia ini demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda