Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tanda Sujud

    Oleh Salina MS –

    SINOPSIS

    Sudah lima kali Ramadan dan lima kali raya, Sahrin bergelar penganggur terhormat.

    Sahrin terbaca iklan jawatan kosong dalam akhbar tempatan. Jawatan PA. Kelayakan ialah mesti lelaki dan bujang. Masih bujang? Ini mahu cari bakal suami kah? Apa ini? Serta boleh menjadi imam untuk solat Tarawih. Ini jawatan PA kah, atau jawatan jadi imam? Pelik!

    I

    Sementelah terbaca iklan jawatan kosong itu, Sahrin tak sedap duduk.

    Sekejap dia duduk. Sekejap dia berdiri. Hatinya teringin sangat ada pekerjaan yang terjamin. Sudah lima kali Ramadan dan lima kali raya hidupnya diselaputi oleh kerawang dunia pengangguran. Teringin sangat mengakhiri zaman penganggurannya di Ramadan kelak. Tetapi…

    Dia sudah lama tak… Bukan! Bukan sudah lama tak solat. Tapi dia selalu sangat ponteng solat. Pokoknya, dia solat ikut mood. Jarang benar moodnya bagus sehingga membawanya mahu mendirikan solat.

    Gambar Envato Elements
    Gambar Freepik

    Dia lulus Pangkat 1 dalam peperiksaan Darjah 6 di sekolah agama. Subjek Al-Quran lulus cemerlang, Gred 1. Top student di sekolah ugama. Selalu jadi imam solat Asar, pernah didedahkan dengan pengalaman mengimami solat jenazah, hafal surah Sajadah dan selalu menjadi imam solat Subuh di perkampungan mingguan Jumaat sekolah ugama tersebut.

    Ustazah pernah cakap, dia bakal pelapis imam suatu waktu kelak.

    Tetapi, itu dahulu. Zaman kanak-kanak dan zaman awal remaja. Sekarang, imannya sudah banyak terhakis oleh waktu. Kalau kata dia sibuk, mustahil. Dia kan penganggur! Sibuk apa? Orang terpaling sibuk dalam dunia pun tak akan ada halangan untuk solat lima waktu sehari semalam. Sebab, satu waktu solat cuma memakan masa lima minit sahaja. Lima waktu solat pula cuma 25 minit daripada 24 jam sehari.

    Justeru, dia kurang yakin diri untuk memohon jawatan itu gara-gara selalu ponteng solat.

    Selama ini, mana pernah ada syarat sebegitu. Jawatan PA tetapi perlukan seorang lelaki bujang yang boleh mengimami solat tarawih. Pelik sangat! Macam mahu mencari calon suami pula.

    II

    Wajah Sahrin ketat.

    I belum ada kerja.”

    At least kita tunanglah dulu,” desak Rohainies.

    “Bertunang pun pakai duit,” nada Sahrin tinggi.

    “Alasan!,” bentak Rohainies.

    Sahrin mendengus. Kesal sikap Rohainies. Tak faham-faham! Bukan bertunang saja, kahwin terus pun Sahrin nak sangat kalau ada duit. Bukan pervert. Alang- alang girlfriend sudah sound, kecil tapak tangan stadium negara ku tadahkan.

    “I kasi you tempoh satu bulan. Kalau you tak buat apa-apa untuk kukuhkan hubungan ini, kita putus.”

    Amaran Rohainies tenggelam timbul dalam memori Sahrin. Menyebabkannya terpunduk tidak berkutil depan televisyen.

    “Dari tadi ibu perhatikan. Yang kau tonton itu tak ada suara langsung. Kah, memang tak mahu dengar suara?”

    Tadi, ibu sudah berulang kali keluar masuk dari dapur ke bilik tamu. Melihat perangai Sahrin yang pelik daripada kebiasaan. Sahrin selalu menonton program televisyen yang ada konsep nyanyi-nyanyian. Tapi kali ini, cerita kartun tanpa suara pula.

    “Huh,” keluh Sahrin panjang.

    “Ibu nak nasihat kau sikit. Pergilah cari kerja,” kata ibu.

    “Selama lima tahun ini, itulah yang aku buat ibu,” balasnya.

    “Kalau kau memang mencari, kenapa kau tak dapat? Lima tahun tempoh yang panjang untuk tidak mendapat pekerjaan kalau benar-benar gigih mencari,” kata ibunya.

    “Ibu ini bercakap macam ibu tak tengok apa yang aku buat selama ini,” kasar jawapan Sahrin.

    “Gigih mencari kerja dengan saja-saja mencari kerja ikut mood ikut suka hati, lain impaknya Sahrin. Tak sama impaknya,” tenang ibu.

    Kemudian ibu kembali ke dapur. Ibu tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Orang kalau fikiran kusut, nasihat pun dianggap macam nak bawa bergaduh.

    III

    Maka tibalah hari temu duga, sementelah perjanjian temu duga bersama sekretari syarikat itu ditempah.

    Sahrin berdebar. Namun tetap bersemangat. Tekanan dari Rohainies dan ibu sudah menjadi kuasa ampuh, memotivasikan diri untuk berani memohon jawatan PA yang bersyarat pelik itu.

    Sudah berkali-kali Sahrin merapikan songkok atas kepala. Dia sudah lama tak pakai songkok itu. Hari terakhir dia pakai waktu hari raya tahun lepas. Kini disebabkan jawatan yang dipohon memerlukan calon yang boleh mengimamkan solat tarawih, maka watak Muslim sejati diwujudkan gitu.

    “Assalamualaikum!” ucap Sahrin di muka pintu.

    “Waalaikumsalam! Silakan masuk.”

    Dahi Sahrin berpeluh. Songkok semakin kerap dirapikan.

    “Silakan duduk.”

    Sahrin duduk. Songkok dirapikan nampak dahi.

    Manager mendongak pandangan sementelah meneliti resume Sahrin yang terbentang atas meja. Pandangan mata langsung tertancap pada dahi Sahrin.

    Impressive!” Nada manager terucap rendah.

    Wajah serius manager tiba-tiba tertampak cahaya kepuasan dan kesyukuran tak terbilang kata. Inilah calon yang dicari-cari selama ini.

    “Dayang, bawakan kontrak pekerja,” arah manager melalui interkom.

    Sahrin menelan liur kelat.

    Apa sudah jadi! Sekali tengok muka aku, terus minta bawakan kontrak pekerja.

    Sekretari bernama Dayang masuk ke pejabat. Lalu kertas kontrak setebal 10 lembaran itu, diletak depan Sahrin. Sahrin tergamam menatap lembaran depan bertulis, Kontrak Pekerja.

    “Sila baca kontrak kemudian tandatangan hari ini juga. Esok mula bekerja,” beritahu manager senang hati.

    Sahrin kalut. Sukar percaya. Benarkah ini?

    Usai menandatangani kontrak pekerja, dia beredar ke bilik air. Rasa lega campur gamam masih ada. Esok Ramadan. Dia akan mula bekerja. Syukur. Selepas sesi qada hajat, dia menuju ke singki. Menekan kepala paip sambil mendongak muka ke cermin.

    Astaghfirullah hal’azim…

    Sungguh terkejut beruk. Di tengah dahinya ada dua bentuk warna hitam. Macam tanda sujud.

    Patutlah!

    Songkok itu puncanya.

    Kontrak untuk jawatan PA cuma imam syarikat, sudah ditandatangani untuk tempoh 10 tahun tanpa masa percubaan. Masin sungguh kah mulut ustazah sekolah ugama itu suatu waktu dahulu yang mengatakan dia bakal menjadi pelapis imam?

    Tetapi, macam mana dengan tanda sujud ini? Ia akan hilang bila terkena air. Dia bingung. Tiba-tiba, ilham bertandang ke minda…

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...