Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Perpindahan Mata-mata telah mengadakan majlis khatam Al-Quran yang disertai 137 orang peserta, kelmarin.
Majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Perpindahan Mata-mata itu dihadiri oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Majlis antara lain bertujuan bagi melimpahkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kemakmuran, kesihatan, keharmonian, perpaduan dan kemajuan negara selama 37 tahun kemerdekaan.
Para peserta khatam terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, belia masjid, Muslimah dan penduduk kampung di sekitarnya.
Majlis terdahulu dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh ketua imam Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Awang Anwar bin Haji Salim yang diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan Takhtim beramai-ramai.
