Wednesday, February 12, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanda-tanda awda perlu menukar minyak hitam

    Minyak hitam kereta atau turut dikenali sebagai minyak enjin dan minyak pelincir berfungsi untuk membersihkan, menyejukkan dan melicinkan pergerakan enjin sekali gus mengurangkan risiko kerosakan pada bahagian kereta tersebut.

    Pemeriksaan dan penyelenggaraan minyak hitam kereta secara berkala boleh membantu mengelakkan awda daripada berdepan dengan situasi luar jangka seperti minyak hitam bocor bawah enjin kereta yang mungkin berisiko merosakkan komponen lain dalam enjin kereta awda.

    Bagaimana untuk tahu bila awda perlu menukar minyak hitam kereta? Ada yang berpendapat bahawa minyak hitam perlu ditukar pada setiap 5,000 atau 10,000 kilometer mengikut jenis dan grednya. Ikuti artikel oleh laman blog BJAK ini bagi mengetahui tanda-tanda yang menunjukkan minyak hitam kereta awda perlu ditukar.

    WARNA MINYAK BERTUKAR HITAM DAN KOTOR

    Meskipun namanya minyak hitam, warna minyak tersebut tidaklah sehitam seperti yang digambarkan. Minyak hitam yang bersih atau yang masih baharu kebiasaannya berwarna amber (kuning jingga). Lama-kelamaan, warna tersebut akan berubah menjadi gelap dan hitam kesan daripada kotoran dan bendasing akibat pembakaran dalaman enjin kereta.

    Perubahan warna ini tidak akan nampak ketara pada permulaannya, jadi awda disarankan untuk membuat pemeriksaan tahap kejernihan minyak hitam dari semasa ke semasa sekurang-kurangnya sebulan sekali. Bagaimana caranya?

    Warna minyak hitam yang bersih atau yang masih baharu ialah kuning jingga. – Freepik
    Sekiranya awda ada terbau benda hangit atau terbakar, hentikan kereta awda di kawasan yang selamat untuk melakukan pemeriksaan segera. – Freepik

    Pertama, cabut dipstick dan bersihkan dahulu dengan menggunakan kain lap atau tisu dapur. Kemudian, masukkan semula dipstick ke dalam minyak hitam. Seterusnya, keluarkan semula dipstick dan calitkan dipstick tersebut pada kain berwarna putih untuk melihat tahap kelikatan minyak hitam.

    Jangan lupa untuk periksa juga paras minyak hitam awda. Pastikan tidak melebihi atau kurang daripada tahap yang sepatutnya. Sekiranya ia melebihi paras high level, sebahagian minyak pelincir perlu dikeluarkan supaya ia tidak mengganggu kelancaran enjin.

    Sekiranya paras minyak hitam berada di bawah low level, minyak pelincir perlu ditambah bagi mengelakkan kerosakan komponen enjin.

    ENJIN KERETA MERAGAM

    Minyak enjin adalah lapisan pelindung yang membantu mengelakkan pergeselan antara komponen logam di dalam enjin dan memastikan enjin berjalan dengan senyap.

    Apabila minyak hitam semakin cair, berwarna gelap dan tidak ditukar atau berkurangan, ia tidak akan dapat menjalankan fungsinya dengan baik. Sebab itu, bunyi enjin kereta akan kedengaran lebih bising dan kuat seperti ‘bunyi ketukan’.

    PENGGUNAAN BAHAN API MENINGKAT

    Peningkatan penggunaan bahan api atau minyak petrol turut menandakan minyak hitam kereta awda sudah perlu digantikan. Minyak hitam yang telah cair dan tidak cukup likat akan meningkatkan tekanan ke atas enjin kenderaan awda.

    Ini bermaksud, komponen enjin kereta perlu bekerja dengan lebih keras daripada biasa bagi menggerakkan kereta dengan prestasi pemanduan sediakala. Ia secara tidak langsung akan meningkatkan penggunaan petrol atau bahan api.

    BAU KERETA TERBAKAR, BERASAP

    Sekiranya awda ada terbau benda hangit atau terbakar, ia menunjukkan bahawa terdapat masalah pada bahagian enjin kereta. Segera hentikan kereta awda di kawasan yang selamat untuk melakukan pemeriksaan segera.

    Kebiasaannya, bau hangit tersebut berlaku disebabkan oleh kebocoran minyak dalam enjin kereta. Boleh jadi juga disebabkan enjin kereta yang terlalu panas sehingga menyebabkan minyak terbakar di dalam sistem ekzos. Masalah ini boleh menyebabkan asap kereta awda bertukar warna menjadi kelabu atau biru.

    Awda disarankan untuk menggantikan minyak hitam dengan kadar segera bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius pada kereta seperti kebakaran enjin dan sebagainya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda