Thursday, October 3, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanda-tanda ekzos kereta awda mungkin bocor

    Ekzos kereta mungkin merupakan salah satu komponen yang kurang diambil perhatian oleh pemilik.

    Jangan begitu! Sebenarnya, ekzos kereta perlu diperiksa dengan kerap.

    Sebarang masalah atau kebocoran pada ekzos boleh menjejaskan kesihatan serta membahayakan nyawa awda dan penumpang jika dihidu secara berterusan sepanjang perjalanan.

    Sistem ekzos kereta direka untuk memastikan pelepasan bahan kimia berbahaya yang dihasilkan oleh kereta berada pada tahap yang selamat.

    Sebagai komponen yang mengeluarkan sisa buangan pembakaran, sistem ekzos kereta ini secara tidak langsung mempunyai fungsi mengurangkan kadar pencemaran.

    Gas-gas yang dilepaskan oleh enjin kereta boleh mendatangkan bahaya jika pemandu dan penumpang terhidu secara berterusan sepanjang pemanduan. – Unsplash
    Gegaran pada pedal minyak boleh berlaku walaupun hanya terdapat kebocoran kecil. – Freepik
    Sebagai pemilik kenderaan yang bijak, sentiasalah periksa ekzos kereta awda. – Freepik
    Kebocoran dalam sistem ekzos boleh meningkatkan penggunaan bahan api. – Freepik
    Antara tanda-tanda ekzos kereta awda mungkin bocor ialah bunyi yang dihasilkan terlalu kuat. – Unsplash

    Walaupun begitu, masih ramai dalam kalangan pemilik kereta yang mengambil ringan mengenai penjagaan sistem ekzos kereta sehingga akhirnya menyebabkan sistem ekzos kereta bermasalah seperti berlaku kebocoran.

    Untuk makluman awda, kebocoran pada sistem ekzos kereta adalah sangat berbahaya kepada pemandu dan penumpang. Gas ekzos seperti karbon monoksida (CO) yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar malah tidak berbau boleh menyebabkan seseorang itu terhidu tanpa sedar sehingga kadang kala membawa kepada kematian.

    Justeru itu, adalah penting untuk setiap pemilik mengambil tahu mengambil tahu mengenai kebocoran sistem ekzos kereta bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.

    Bagaimanakah cara awda mengesan kebocoran pada sistem ekzos kereta? Baca artikel oleh laman web BJAK ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

    BUNYI EKZOS KERETA KUAT

    Awda sedang memecut dan awda secara tiba-tiba terdengar bunyi kuat dari ekzos kereta?

    Ia mungkin menandakan bahawa sistem ekzos kereta awda sedang bocor atau mengalami masalah.

    Pada kebiasaannya, ia akan mengeluarkan bunyi seperti berdesis atau ketak-ketik. Jika awda mendapati bunyi luar biasa ini dihasilkan daripada ekzos kereta awda, segera ke bengkel untuk membuat pemeriksaan bagi mengelakkan daripada berlakunya masalah yang lebih besar.

    GEGARAN PADA PEDAL MINYAK

    Jika awda mendapati berlaku gegaran pada bahagian pedal minyak, ia mungkin juga menandakan bahawa sistem ekzos kereta awda sedang bermasalah atau bocor. Gegaran pada pedal minyak boleh berlaku walaupun hanya terdapat kebocoran kecil.

    Lazimnya, gegaran pada bahagian pedal minyak adalah disebabkan oleh kebocoran paip ekzos dan berkadar langsung dengan saiz kebocoran paip ekzos. Semakin besar saiz kebocoran paip ekzos, semakin teruk gegaran pedal minyak yang dialami oleh pemandu.

    Jika awda mengabaikan simptom ini, gegaran tersebut boleh bertambah buruk dan boleh merebak hingga bahagian stereng dan lantai kereta.

    MINYAK KERETA CEPAT HABIS

    Adakah kereta awda kerap kehabisan minyak (berbeza berbanding sebelum ini)? Maka ia mungkin menandakan bahawa sistem ekzos kereta awda sedang mengalami masalah atau kebocoran.

    Ini kerana, sistem ekzos memerlukan nisbah kandungan bahan api yang betul bagi menghasilkan tahap kecekapan bahan api yang bersesuaian.

    Jika berlaku kebocoran dalam sistem ekzos, ia sebenarnya menyebabkan prestasi enjin kereta awda merosot dan sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api.

    Mudah kata, lebih banyak bahan api diperlukan bagi mencapai tekanan yang betul untuk memberikan tenaga yang diperlukan oleh kereta awda.

    KUASA PECUTAN KURANG

    Kebocoran sistem ekzos kereta terutamanya pada bahagian manifold ekzos secara tidak langsung boleh merosakkan injap dan akan meningkatkan penggunaan bahan api yang menyebabkan kuasa enjin berkurangan.

    Ini kerana, enjin kehilangan lebih banyak kuasa dan menyebabkan kuasa enjin menjadi lemau sekali gus mengurangkan kuasa pecutan enjin sesebuah kereta.

    TERHIDU BAU KURANG MENYENANGKAN

    Berbeza dengan gas CO yang tidak mempunyai bau, gas karbon dioksida (CO2) mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, termasuklah gas-gas lain yang dilepaskan oleh enjin kereta.

    Gas-gas tersebut turut mendatangkan bahaya jika pemandu dan penumpang terhidu secara berterusan sepanjang pemanduan.

    Jika kebocoran berlaku di bahagian manifold, gas-gas yang terlepas itu akan menghasilkan bau yang kuat.

    Gas-gas berkenaan mungkin menyelinap masuk menerusi kabin belakang dan tidak dapat dihidu oleh pemandu dan penumpang depan. Jadi, sentiasa prihatin kepada bunyi, gegaran dan bau.

    Kesimpulannya, sentiasalah periksa ekzos kereta awda. Seperti yang dinyatakan di atas, masalah yang berlaku pada ekzos kereta boleh menggadaikan nyawa pemandu dan penumpang.

    Jadi, apa kata selepas ini awda kerapkan diri untuk melakukan pemeriksaan pada bahagian sistem ekzos kereta.

    Ia bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. Pastikan awda tidak mengabaikan lagi tanda-tanda yang mungkin boleh membantu awda mengenal pasti sebarang masalah atau kebocoran pada ekzos kereta.

    Sila bawa segera kereta awda ke bengkel jika mendapati mana-mana tanda yang dikongsikan di atas berlaku pada kereta awda. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda