Friday, February 21, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tang Jie tidak puas hati permulaan musim 2025

    KUALA LUMPUR, 18 FEB – Pemain beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie masih belum berpuas hati dengan permulaan musim 2025 selepas gagal merangkul sebarang gelaran setakat ini.

    Tang Jie berkata beliau dan pasangan Toh Ee Wei banyak mensia-siakan peluang untuk melakar kejayaan membanggakan sepanjang tiga kejohanan yang disertai biarpun menampilkan prestasi baik di dalam gelanggang. “Semua pertandingan pun ada peluang untuk pergi lebih jauh dan boleh jadi juara, tetapi selalu berhenti di separuh akhir atau suku akhir. Saya rasa sudah bagus tapi akhirnya masih kalah lagi.

    “Macam di Terbuka India, kita main bagus tapi di separuh akhir kena tekan. Di tanah air sendiri (Terbuka Malaysia) kita memulakan permainan dengan bagus tapi kalah juga. Jadi saya rasa tak puas hati (permulaan musim),” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Kuala Lumpur hari ini. Tang Jie-Ee Wei memulakan kempen 2025 dengan kekalahan di separuh akhir kepada beregu China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 19-21, 14-21 pada Terbuka Malaysia, dan terkandas di peringkat sama apabila dikejutkan pasangan Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue, 17-21, 15-21 pada Terbuka India.

    Penampilan ketiga mereka tahun ini pada Indonesia Masters pula terhenti di suku akhir selepas tumpas kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand, 21-18, 20-22, 18-21.

    Justeru, Tang Jie berkata tempoh rehat daripada sebarang pertandingan ketika ini digunakan dengan fokus meningkatkan aspek mental dan fizikal selain cuba memiliki variasi dari segi strategi permainan sebelum kembali berjuang di Eropah termasuk pada Orleans Masters 2025 di Perancis (4 hingga 9 Mac) serta All England 2025 di Birmingham (11 hingga 16 Mac).

    Pemain berusia 27 tahun itu juga berharap untuk mengulangi kejayaan merangkul gelaran Orleans Masters selepas kali terakhir memenanginya pada 2023, yang juga kejayaan sulung mereka pada kejohanan Jelajah Dunia. Mengenai cabaran di All England, pemain kelahiran Perak itu berharap dapat memberikan persembahan yang lebih baik tahun ini selepas masih belum berjaya menjejakkan kaki sekurang-kurangnya ke suku akhir sejak membuat penampilan sulung pada kejohanan badminton tertua dunia pada 2023.

    Sementara itu, beliau tidak berkecil hati dengan mana-mana kritikan peminat badminton tempatan di media sosial terhadap prestasinya dan masih boleh menerima teguran daripada mereka selagi tidak menyentuh hal peribadi. – Bernama

    Aksi beregu Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ketika menentang pemain dari Thailand Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran pada Kejohanan Master Indonesia di Istora Senayan, pada 24 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda