TURKS & CAICOS ISLANDS , 19 FEB – Seorang wanita berusia 55 tahun dibaham ikan jerung ketika dia cuba mengambil gambarnya semasa bercuti di kepulauan Turks dan Caicos.
Oddity Central melaporkan wanita dari Kanada itu diserang jerung sepanjang 6 kaki di perairan yang cetek di pantai Kepulauan Turks dan Caicos.
Setelah mendengar jeritannya, suami wanita berkenaan meluru ke dalam air dan dengan berani berjaya menghalau jerung itu.
Namun setelah mangsa dibawa ke darat, wanita itu telah mengalami kerosakan teruk pada kedua-dua tangannya.
Serangan yang berlaku pada 7 Februari dan mangsa dirawat di hospital sebelum meninggalkan pulau itu untuk rawatan perubatan lanjut.
Malangnya, doktor tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan tangannya yang hancur menyebabkan kedua-duannya perlu dipotong.
Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Pantai (DECR) di Turks dan Caicos, pelancong Kanada itu telah, “cuba berinteraksi dengan haiwan itu” dengan mengambil gambarnya, seolah-olah tidak menyedari bahaya yang bakal dihadapi.

Gambar wanita yang diambil sejurus selepas dibawa ke darat oleh suaminya menunjukkan dia dikelilingi oleh ahli keluarga lain yang ketakutan dan rakan-rakan pelancong yang lain. Pergelangan tangannya ditutup dengan kain untuk menghentikan pendarahan.
Walaupun hampir mustahil untuk mengetahui sama ada serangan itu diprovokasi atau tidak diprovokasi, perlu diingatkan bahawa secara umumnya, serangan jerung terhadap manusia sebenarnya sangat jarang berlaku.
Chris Stefanou, seorang nelayan dan juga aktivis pemuliharaan jerung, memberitahu New York Times bahawa telefon pintar wanita itu mungkin menjadi punca serangan berkenaan.
“Jerung, atau mana-mana haiwan pemangsa di lautan, boleh terkeliru melihat umpan (kilauan telefon pintar),” kata Stefanou. “Jerung bukanlah terus mahu makan apabila terlihat manusia kerana lapar. Itu tidak pernah berlaku.”

Untuk mengelakkan serangan jerung, DECR mencadangkan supaya hanya berenang di kawasan yang ditetapkan, elakkan berenang di kawasan air keruh dan jangan sekali-kali berenang bersendirian serta segera menjauhi jerung sekiranya terserempak dengannya. – Agensi
