Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Dengan kemunculan Industri 4.0, teknologi dan kecerdasan buatan telah menjadi platform lanjut untuk berjaya, tapi keselamatan siber harus selari dengan perkembangannya.
Dengan teknologi yang terus berkembang begitu juga kreativiti serangan-serangan dan ancaman siber, oleh itu adalah perlu untuk terus melaksanakan penyelesaian dan perkembangan terkini secara konsisten bagi mengelak sebarang situasi yang menjejaskan dan memudaratkan yang tidak hanya merugikan malah berpotensi berbahaya bagi individu dan negara.
Perkara ini ditekankan oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM), Hajah Sufinah binti Haji Sahat semasa berucap pada Program Cybersecurity 2020: How Safe are you? anjuran CIBFM dengan sokongan AMBD di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.
Dalam ucapannya itu, Hajah Sufinah menyatakan, pada Jun 2019, AMBD telah melaporkan terdapat tiga insiden yang berkaitan dengan keselamatan siber.
Ini melibatkan penipuan kad kredit yang menggunakan Bank Identification Attack, Web Browser Tampering and Isolated Malware di samping insiden hampir-hampir berlaku melibatkan penipuan mendapatkan data menerusi e-mel yang menggunakan teknik pemalsuan dan penyamaran untuk menipu pekerja.
Beliau menambah, Brunei Darussalam telah mengambil beberapa pendekatan dan strategi seperti pelaksanaan perkhidmatan keselamatan siber oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi pada 2018 dan penubuhan Pusat Keselamatan Siber Nasional.
Menurutnya inisiatif-inisiatif berkenaan antara lain bertujuan bagi meningkatkan tahap kesedaran terhadap ancaman keselamatan siber di sektor awam dan swasta di Negara Brunei Darussalam terutamanya ke arah memelihara Infrastruktur Maklumat Kritikal (CII), selain meningkatkan keupayaan tindak balas terhadap insiden siber melalui pengurusan krisis siber yang berkesan.
Di samping itu juga, bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang dalam mengurangkan ancaman siber melalui perkhidmatan Makmal Forensik Digital Kebangsaan dan meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap ancaman siber. Semasa program berkenaan, para peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut mendengar ucaptama daripada Pengarah Urusan Responsible Cyber Pte, Dr Magda Lilia Chelly, CISSP yang menyentuh mengenai I Know You Have Been Hacked.
