Tangani cabaran membebankan

Oleh Salawati Haji Yahya & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Ayat pertama yang diturunkan adalah mengenai pembelajaran dan pembacaan Al-Quran iaitu satu isyarat di mana Al-Quran adalah sumber segala ilmu pengetahuan.

“Kita tidak akan sesat selagi berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah kerana Al-Quran adalah mukjizat agung yang ditinggalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW untuk menjadi pemandu jalan.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menambah, ini khasnya di zaman mutakhir yang penuh liku dan cabaran ini.

Dalam titah sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi tahun 1440 Hijrah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini, Baginda menjelaskan bahawa antara cabaran yang membebani, terdapat satu trend orang suka bercakap atau berteori perkara yang bertentangan dengan Al-Quran atau Al-Hadis.

Mengenai mimpikan nabi atau berjumpa dengan nabi dalam mimpi adalah perkara benar kerana syaitan tidak dapat menyerupai nabi tapi para ulama ada yang melarang atau tidak menggalakkan untuk menceritakan mimpi itu kepada umum. “Kerana mimpikan nabi adalah perkara benar dan sulit, tidak wajar ia untuk dijaja,” tegas Baginda.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah semasa Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi tahun 1440 Hijrah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

Di samping itu, titah Baginda lagi, perlu juga dinilai siapa yang bermimpi, apa latar belakangnya dan apa isi mimpinya itu kerana cerita boleh saja direka seperti nabi berkirim salam kepada orang ramai yang memberi gambaran betapa hebatnya ingatan orang bermimpi hingga mampu mengingat satu persatu nama yang diminta untuk disampaikan salam itu.

Baginda Sultan seterusnya bertitah, turut mustahak diperhatikan isi mimpi, jika ia bercanggah dengan Al-Quran atau Al-Hadis, seperti baru-baru ini ada orang yang membawa cerita mimpikan Rasulullah SAW, kononnya Baginda memberitahu yang mula-mula sekali masuk syurga ialah umat Baginda, kemudian baru Baginda sendiri.

Sedangkan menurut hadis sendiri, titah Baginda Sultan, tidak siapa pun yang mula dibukakan pintu syurga melainkan nabi dan dalam makna Bagindalah orang pertama yang memasuki syurga sebelum orang lain.

“Tetapi walaupun kedudukan hadis itu sudah dijelaskan, tapi masih ada juga pihak yang terus berdegil untuk membenarkan mimpi tersebut dan inilah Beta maksudkan sebagai cabaran yang membebani itu,” tegas Baginda.

Sebagai langkah mengatasi perkara ini, Baginda Sultan menyeru pihak berkenaan untuk menjalankan kuasa di bawah Akta Permohonan Tauliah Kebenaran Mengajar Al-Quran, agama atau berceramah agama, Majlis Ugama Islam Brunei untuk berhati-hati dalam memberikan kebenaran.

Baginda seterusnya bertitah, kalau benar seseorang itu memiliki ilmu agama yang mantap, sudah setentutnya akan lebih sensitif dengan amaran Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang sengaja berdusta atas nama Baginda, maka siaplah tempatnya di dalam neraka” (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Dalam perkara ini, Baginda menginginkan pelajaran agama dan Al-Quran itu dikuatkan di semua sekolah bukan sahaja di sekolah-sekolah agama dan Arab, malah juga di sekolah-sekolah menengah, di bawah Kementerian Pendidikan dan juga swasta.

Baginda berhasrat, rakyat di negara ini mendapat pendidikan agama yang betul yang tidak menyimpang daripada Al-Quran dan Al-Hadis supaya negara benar-benar beroleh keberkatan dan rahmat dari Allah.

Baginda yakin bahawa Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan telah melangkah ke arah merancang satu kurikulum pengajaran Al-Quran dan agama di sekolah-sekolah menengah dan swasta di mana ini salah satu yang turut menjadi keutamaan ialah pelajaran ‘Sejarah Islam’.

Adapun skop pelajaran Sejarah Islam itu amatlah luas meliputi Al-Quran dan Al-Hadis, titah Baginda, bukankan apa-apa yang dikhabarkan berlaku dalam Al-Quran atau Al-Hadis itu sejarah?.

“Maka kerana itu, Beta sangatlah berhajat untuk melihat perkara ini direalisasikan,” tambah Baginda.