Monday, November 18, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tangani cabaran pergolakan, perubahan iklim secara kolektif

    LIMA, REPUBLIK PERU, 17 NOV – Cabaran berterusan yang mengancam kemakmuran dan kestabilan seperti pergolakan dan perubahan iklim perlu ditangani secara kolektif bagi melindungi masyarakat dan menjamin masa depan yang berdaya tahan.

    Jika ia tidak ditangani, ia boleh menjejaskan kehidupan dan mata pencarian dan juga membahayakan ekosistem global. Tiada satu pun ekonomi, besar atau kecil, boleh menangani isu-isu ini secara berasingan.

    Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda semasa berkenan menghadiri Retreat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC yang berlangsung di Lima Convention Center (LCC), Lima, Republik Peru, hari ini.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Selain itu Baginda turut menekankan memupuk kerjasama membolehkan ekonomi menghadapi cabaran ini secara berterusan, dengan kemajuan yang ketara melalui penyelidikan bersama, penggubalan dasar yang mantap dan strategi yang berkesan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan melambaikan tangan sebelum memasuki pesawat bagi meninggalkan Republik Peru. Berangkat mengiringi Baginda ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menerima sembah ucapan selamat berangkat daripada TYT Presiden Majlis Menteri-menteri Republik Peru di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chaves. Berangkat mengiringi ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berkenan menghadiri Retreat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC yang berlangsung di Pusat Konvensyen Lima (LCC), Lima, Republik Peru. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menghadiri Retreat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC, di LCC, Lima, Republik Peru, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menghadiri Majlis Santap Malam Gala Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC di Palacio de Gobierno (Government Palace), Lima, Republik Peru, baru-baru ini. Berkenan mengiringi Baginda ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menghadiri Majlis Santap Malam Gala Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC yang dihoskan oleh PYT Presiden Republik Peru, di Palacio de Gobierno (Government Palace), Lima, Republik Peru, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan berjabat tangan bersama pemimpin dunia semasa menghadiri Retreat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC yang berlangsung di LCC, Lima, Republik Peru, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan semasa berkenan mengadakan perjumpaan dua hala bersama TYT Presiden Republik Korea di LCC, Republik Peru, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Fokus pada hasil utama seperti hidrogen bersih dan rendah karbon, dan inisiatif untuk mencegah kerugian dan pembaziran makanan, merupakan komponen penting Matlamat Bangkok yang dipersetujui pada tahun 2022. Inisiatif ini amat penting dalam menangani cabaran sekuriti makanan yang ditimbulkan oleh perubahan iklim dan dalam meningkatkan kedaya tahanan ekonomi APEC.

    Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam, titah Baginda, telah memperkenalkan pertanian yang dapat diperbaharui dan teknologi hijau, seperti pertanian rumah hijau dan akuakultur kitar semula, yang memfokuskan kepada amalan pertanian lestari.

    Walau bagaimanapun, pergolakan yang berterusan, khususnya di Palestin, Lubnan dan Balkan, menimbulkan ancaman serius kepada kemajuan kolektif ini sambil mengganggu rantaian bekalan global dan mengancam keselamatan dan kestabilan ekonomi global. Oleh yang demikian, Baginda menekankan kepentingan masyarakat global untuk bersatu dan mencegah peningkatan dan penyebaran ke wilayah masing-masing dan seterusnya.

    Semasa sesi retreat tersebut, para pemimpin APEC, antara lainnya membincangkan kerjasama dan bertukar-tukar pandangan tentang perkara-perkara yang berhubung kait dengan bidang-bidang keutamaan mesyuarat APEC kali ini termasuk menggalakkan pertumbuhan inklusif dan saling berkaitan melalui perdagangan dan pelaburan; memajukan inovasi dan pendigitalan bagi menggalakkan peralihan kepada ekonomi formal dan global; dan memastikan pertumbuhan mampan untuk pembangunan berdaya tahan.

    Pada penghujung retreat tersebut, Presiden Republik Peru, Puan Yang Terutama Dina Ercilia Boluarte Zegarra, menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi APEC kepada Presiden Republik Korea, Tuan Yang Terutama Yoon Suk Yeol, yang akan menjadi Pengerusi APEC bagi tahun 2025.

    Di samping itu, dokumen-dokumen iaitu Kenyataan Ichma mengenai Pandangan Baharu untuk Memajukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik; Peta Jalan untuk Menggalakkan Peralihan kepada Ekonomi Formal dan Global Lima; dan Deklarasi Machu Picchu Pemimpin-pemimpin APEC 2024 telah diluluskan dan diguna pakai.

    KEBERANGKATAN BALIK DARI LIMA, PERU

    Selesai menghadiri Retreat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat balik dari Lima, Republik Peru.

    Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Presiden Majlis Menteri-menteri Republik Peru, TYT Gustavo Lino Adrianzen.

    Juga hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Amerika Syarikat (Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam yang Tidak Menetap ke Republik Peru), Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Haji Ali.

    BERANGKAT MENGHADIRI DIALOG INFORMAL PEMIMPIN-PEMIMPIN APEC BERSAMA TETAMU

    Sementara itu, kelmarin, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri Dialog Informal Pemimpin-pemimpin APEC bersama Tetamu, bertempat di LCC, Lima, Republik Peru.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Semasa sesi itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menzahirkan kebimbangan terhadap pergolakan geopolitik yang berterusan di Palestin, Lubnan dan Balkan, yang telah memberikan kesan amat ketara terhadap kemajuan global, rantaian bekalan, keselamatan dan kestabilan ekonomi.

    Oleh itu, tindakan kolektif oleh masyarakat antarabangsa amat penting untuk mencegah peningkatan selanjutnya dan merebaknya konflik ini.

    Baginda seterusnya menekan-kan peranan APEC yang telah lama wujud sejak penubuhannya pada tahun 1989 dalam menggalakkan kerjasama ekonomi di seluruh rantau Asia Pasifik. Di samping itu, Baginda menggariskan komitmen APEC terhadap Matlamat Bogor, yang menumpukan pada perdagangan bebas dan terbuka serta menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, yang kedua-duanya penting untuk meningkatkan kestabilan ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan.

    Dalam mana APEC semakin maju, Baginda mengambil maklum bahawa rantau ini menghadapi cabaran ekonomi baharu yang boleh menjejaskan kemakmuran bersama.

    Sebagai tindak balas kepada cabaran ini, kemapanan dan keterangkuman adalah penting dalam ekonomi global pada masa kini.

    Baginda juga menekankan tumpuan berterusan APEC terhadap pertumbuhan yang mampan dan inklusif, seperti yang dicerminkan dalam Matlamat Bangkok. Matlamat tersebut menunjukkan keupayaan rantau ini untuk menyesuaikan diri dengan perubahan realiti ekonomi. Selain itu, Baginda merujuk kepada Kenyataan Ichma sebagai langkah penting dalam meningkatkan perbincangan APEC mengenai bidang baharu, termasuk pendigitalan.

    Ketika teknologi terus membentuk kehidupan, ia memacu pertumbuhan e-dagang, pembayaran digital dan pendidikan dalam talian. Untuk benar-benar mendapat manfaat daripada transformasi digital, Baginda menekankan keperluan untuk membina kemahiran yang memperkasakan rakyat dan perniagaan.

    Melihat kedayatahanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh rantau ini, terutamanya semasa COVID-19, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyerlahkan peranan inisiatif seperti Accelerate Bootcamp dan platform dalam talian seperti Coursera dalam menyokong PMKS di Negara Brunei Darussalam dan seterusnya.

    Inisiatif ini menyediakan kemahiran yang diperlukan bagi PMKS untuk berjaya. Melalui usaha ini, Baginda mengulangi komitmen untuk menyediakan rakyat bagi berkembang maju dalam era digital, yang dapat memastikan semua orang boleh terlibat dan mendapat manfaat daripada ekonomi yang berubah pantas.

    Dalam mengakhiri titah, Baginda menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada TYT Yoon Suk Yeol, dalam menghoskan APEC pada 2025 dan Perdana Menteri Kanada, TYT Justin Trudeau, bagi G7 pada tahun depan.

    Dialog yang dihadiri oleh para pemimpin APEC serta perwakilan dari kerajaan Emiriah Arab Bersatu; Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB; dan Development Bank of Latin America and the Caribbean ini, antara lainnya membincangkan agenda untuk meningkatkan keberkesanan kerjasama ekonomi dalam mencapai pertumbuhan yang kukuh, seimbang, terjamin, mampan dan inklusif; serta menangani keperluan untuk rakyat.

    PERJUMPAAN DUA HALA BERSAMA TYT PRESIDEN REPUBLIK KOREA

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berangkat menghadiri perjumpaan dua hala bersama TYT Yoon Suk Yeol, di LCC, Lima, Republik Peru.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Semasa majlis perjumpaan dua hala itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menzahirkan kegembiraan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea (ROK) terus menikmati hubungan mesra yang sudah lama terjalin dalam bidang-bidang berkepentingan yang strategik dan juga dalam bidang baharu termasuk teknologi maklumat dan pertanian.

    Ketika Negara Brunei Darussalam dan ROK meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik, Baginda yakin bahawa kedua-dua buah negara akan terus bekerjasama rapat ke arah mengeratkan persahabatan dan kerjasama antara rakyat dan negara, dan seterusnya percaya bahawa terdapat banyak peluang untuk mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang ICT, termasuk Bandar Pintar.

    Mengenai hubungan dua hala, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan lebih ramai pelabur Korea kerana ROK merupakan rakan perdagangan yang penting, di mana kerjasama erat dalam pelbagai projek pelaburan telah membawa manfaat ekonomi.

    Di samping itu, Baginda juga menekankan untuk menjaga kepentingan bersama terutamanya dalam sekuriti makanan, oleh itu Negara Brunei Darussalam berminat untuk memperdalamkan lagi hubungan ekonomi dalam bidang pertanian melalui Dana Kerjasama BIMP-EAGA ROK.

    Akhir sekali, Baginda merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan ROK melalui biasiswa dan program latihan dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat kedua-dua buah negara.

    Dalam mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan selamat maju jaya kepada ROK yang akan menganjurkan APEC pada tahun 2025.

    Hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan ROK mula terjalin pada 1 Januari 1984, di mana kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, infrastruktur, ICT dan pertukaran antara rakyat.

    MAJLIS SANTAP MALAM GALA PEMIMPIN-PEMIMPIN EKONOMI APEC

    Pada malam kelmarin, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri Majlis Santap Malam Gala Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC, yang dihoskan oleh PYT Dina Ercilia Boluarte Zegarra, selaku Pengerusi Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC ke-31.

    Majlis tersebut diadakan di Palacio de Gobierno (Government Palace), Lima, Peru.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh PYT Presiden Republik Peru. Majlis tersebut diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda