Monday, July 8, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Tangani impak perubahan iklim terhadap operasi tentera

    Oleh Nurdiyanah R. –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Persidangan Ketua Perubatan Tentera ASEAN  (ACMMC) ke-11 telah membuka tirainya hari ini dengan majlis pembukaan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
     
    Persidangan yang diadakan selama tiga hari sehingga 26 Jun ini disertai oleh wakil dari negara-negara ASEAN dan Timor-Leste. Acara berkenaan memberikan tumpuan kepada Impak Perubahan Iklim ke atas Kesediaan Operasi Tentera dan Peranan Perubatan Tentera dengan matlamat memperkukuh perkongsian pandangan dan amalan dalam bidang perubatan tentera untuk meningkatkan hubungan ASEAN.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan. 
     
    Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan ABDB, wakil-wakil dari organisasi termasuk Kementerian Kesihatan, dan peserta dari Brunei Climate Change Office (BCCO), Institut Sains Kesihatan  Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Jerudong Park Medical Centre (JPMC), dan Autoriti Kebangsaan Keselamatan Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA).
     
    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pemangku Pengarah, Jabatanarah Agama ABDB, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
     
    Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan ACMMC ke-11 kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bergambar ramai bersama delegasi ACMMC ke-11 pada majlis pembukaan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    Dalam kata-kata aluan, Pengerusi ACMMC ke-11, Leftenan Kolonel (Dr) Ummi Suzeyanna binti Haji Johari menjelaskan cabaran yang timbul akibat perubahan iklim dan kesannya ke atas operasi tentera dan pengendalian penjagaan kesihatan, selaras dengan tema persidangan.
     
    Sementara itu, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi dalam ucapannya menekankan kepentingan menangani kesan perubahan iklim terhadap kesiapsiagaan operasi ketenteraan.
     
    Beliau juga menekankan kesejajaran persidangan ini dengan Deklarasi ASEAN tentang kedayatahanan mampan yang dibincangkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 bertemakan ASEAN Matters: Epicentrum of Growth
     
    Pemerintah ABDB kemudian secara rasmi membuka persidangan, diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama semua ketua-ketua delegasi ACMMC.
     
    Taklimat-taklimat pembentangan seterusnya termasuk perbincangan tentang peranan perubatan tentera dalam menangani impak perubahan iklim ke atas tahap kesiapsiagaan operasi ketenteraan. ACMMC berperanan sebagai landasan bagi pegawai perubatan tentera ASEAN untuk berkolaborasi dan berkongsi kepakaran, memperkukuh hubungan di antara negara ahli. 
     
    Program tambahan dalam ACMMC ke-11 ini termasuklah Program Saintifik Pegawai Perubatan Tentera Muda ASEAN (YAMMO) dan perjumpaan dua hala antara delegasi.
     
    Negara Brunei Darussalam sebelum ini telah menjadi tuan rumah bagi ACMMC ke-4 pada tahun 2014.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Cuaca panas di kebanyakan kawasan Jepun

    TOKYO, 7 JULAI – Jepun berdepan gelombang haba luar biasa, dengan suhu hampir mencecah 40 darjah Celsius di kawasan Tokai hingga Kanto, hari ini. Agensi...