Oleh Ali Imran Mohd Noordin
KUALA SELANGOR – Desakan untuk mewujudkan undang-undang khas menangani berita palsu telah menjadi satu gerakan di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini.
Jerman sebagai contoh, mulai 1 Januari lalu menguat kuasakan undang yang membolehkan denda 50 juta Euro dikenakan kepada mana-mana laman sesawang yang gagal membuang kandungan berunsur jelik atau menimbulkan kebencian serta palsu dalam tempoh 24 jam.
Sementara itu, Britain dan Perancis di Eropah dan Singapura di Asia Tenggara dilaporkan sedang menimbang untuk menguatkuasakan undang-undang yang serupa.
Apa yang pasti desakan dan perbahasan terhadap perlunya undang-undang untuk mengekang penularan berita palsu semakin bercambah dan mendapat perhatian pihak media, masyarakat dan pemerintah.
Buat masa ini selain penguatkuasaan undang-undang, kaedah seperti pemantauan oleh pihak pemerintah mahupun penganjuran kempen kesedaran masyarakat menjadi pilihan buat sementara waktu.
Keperluan di Malaysia
Melihat kepada keadaan politik negara yang semakin dilanda bahang pilihan raya, beberapa pihak berpendapat Malaysia patut melaksanakan undang-undang bagi mengekang penularan berita palsu.
Antara cadangan yang disuarakan termasuk meminda peruntukan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, penubuhan unit khas memantau berita palsu serta mengguna pakai peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang turut dikenali sebagai Sosma.
Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pada 28 Januari lalu berkata kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik serta ketenteraman awam.
Hal ini mendapat sokongan pelbagai pihak tanpa mengira batasan fahaman politik. Antara menteri kabinet yang menyuarakan sokongan secara terbuka adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Naib Presiden PAS , Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut menyatakan persetujuan dan sokongan mereka terhadap cadangan Perdana Menteri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said pada 7 Februari mengesahkan bahawa pihak kerajaan sedang mengatur pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk membincangkan pembentukan undang-undang ini yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac depan.
Tindakan kecil kesan besar
Mungkin ramai yang masih tidak sedar bahawa tindakan sekecil menyalurkan mesej berantai melalui aplikasi sembang boleh menimbulkan bahaya besar kepada masyarakat, negara bahkan diri mereka sendiri. Mesej dengan maklumat sensasi memang selalu hadir dengan gaya penulisan menarik, intonasi kata yang meyakinkan serta diisi dengan ‘fakta’ yang kukuh untuk meyakinkan pembaca supaya percaya dan seterusnya menyampaikan pula maklumat itu kepada rakan-rakan mereka.
Malangnya tidak semua perkara yang sampai ke telefon pintar adalah berita yang boleh dipercaya. Ada pihak yang sengaja menyajikan maklumat palsu atau berat sebelah demi memenuhi cita-cita mereka yang mahu menimbulkan huru-hara dan memecah-belahkan masyakat.
Dalam forum Bicara Perdana: Berita Palsu Musuh Negara yang berlangsung di SMK Sungai Besar pada 26 Januari lalu, pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Anuar Ali berkata budaya menyebar berita palsu bukanlah sesuatu yang baru sejak dahulu lagi.
Sebelum adanya teknologi komunikasi seperti hari ini, penyebaran berita termasuk berita palsu dilakukan dengan menyampaikan cerita dari rumah ke rumah. Hari ini ia boleh dilakukan dengan menggunakan aplikasi telefon pintar seperti Whatsapp, Telegram dan WeChat.
Forum ini dianjurkan sempena Siri Jelajah Sebenarnya.my anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain.
Ini adalah siri jelajah pertama seumpamanya pada tahun ini. Ia juga adalah yang pertama daripada lebih 20 siri jelajah yang akan dianjurkan sehingga bulan Mac tahun ini.
Nomophobia
Anuar turut menjelaskan tentang sindrom ‘Nomophobia’, singkatan kepada istilah ‘no mobile phone phobia’yang semakin menular dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sindrom ini merujuk kepada ketakutan si pemilik telefon tangan atau telefon pintar jika ia tidak membawa telefon setiap masa, kerisauan bila tiada sambungan rangkaian serta ketakutan bila telefon kehabisan bateri.
“Daripada Nomophobia, pemilik telefon juga boleh mengalami sindrom Fomo ataupun ‘fear of mixing up’ yang membuat pemilik telefon sentiasa akan berdamping dengan telefon sambil ‘scroll’ ke atas ke bawah semata-mata supaya tak perlu bergaul dengan orang di sekelilingnya,” ulas Anuar lagi.
Seorang lagi ahli panel, Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa kemudiannya menambah sebagai pemilik gajet seseorang individu perlu berprinsip dalam menggunakan amanah Allah yang diberikan kepadanya.
“Hadkan tujuan penggunaan gajet. Kita tentukan penggunaanya hanya untuk perkara bermanfaat seperti mencari ilmu, merujuk fakta serta komunikasi yang positif. Dengan cara ini kita dapat mendisiplinkan diri sendiri seterusnya mengelak daripada terjebak melakukan perkara negatif seperti pengedaran berita palsu,” kata beliau.
Generasi strawberi
Dalam ucapan penutup sempena perasmian penutup siri jelajah ini, Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi berkata pelbagai usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran ‘generasi strawberi’ supaya tidak terjebak dengan perbuatan menyebar berita palsu di Internet.
Beliau merujuk ‘generasi strawberi’ kepada generasi muda yang lahir pada tahun 90an. Budiman yang sendiri terkenal sebagai pengguna media sosial tegar dalam menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen menegaskan generasi berkenaan perlu mempunyai ketahanan diri daripada mudah percaya berita yang tersebar melalui internet.
Istilah ‘generasi strawberi’ ini mula digunakan di sebuah wilayah China dan diterima di seluruh dunia sebagai anologi yang menggambarkan keadaan kerapuhan mental generasi muda masa kini. “Mereka merasa bangga jika dapat mendahului orang lain dalam penyebaran berita tanpa memikirkan impak daripada tindakan menularkan sesuatu berita tanpa rasa bersalah atau menilai kesahihannya sesebuah berita itu.”
“Dalam masa sama, pemimpin masyarakat juga memerlukan maklumat yang cukup untuk menilai sesuatu maklumat yang mereka terima. Oleh itu kewujudan portal seperti sebenarnya.my dapat memberi pilihan alternatif buat pemimpin itu serta masyarakat sebagai pusat rujukan mengenai sesuatu isu,” jelas Budiman.
Sebenarnya.my
Dalam perkembangan berkaita, Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan MCMC, Eneng Faridah Iskandar memberitahu, portal sebenarnya.my mendapat 19 juta ‘hits’ dengan purata 70,000 pelawat setiap hari. Ulas beliau ini adalah satu perkembangan positif dalam usaha menjadikan portal itu sebagai pusat rujukan kesahihan berita tular walaupun baru dilancarkan kira-kira 10 bulan lalu pada 14 Mac 2017.
Tambah Eneng Faridah, portal sebenarnya.my sentiasa mengalu-alukan laporan, aduan atau sumbangan berita dari setiap lapisan masyarakat. “Kita mahu tambahkan bahan bersifat tempatan di peringkat daerah dan negeri dan tidak hanya fokus kepada berita atau isu berskala nasional sahaja. Kami juga sedang bekerjasama dengan 22 agensi kerajaan dan 100 organisasi lain yang sudi menjadi titik rujuk kesahihan berita yang tular,” kata beliau.
Eneng turut memberitahu jumlah laporan berkaitan media sosial meningkat tiga kali ganda daripada 742 kes aduan tahun 2016 kepada 2,319 pada tahun 2017.
Wilayah Tengah iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mencatatkan bilangan aduan tertinggi pada kedua-dua tahun iaitu 357 (2016) dan 1,071 (2017).
Negeri Selangor mencatat bilangan aduan tertinggi pada kedua-dua tahun iaitu 188 pada 2016 dan 577 pada 2017. – Bernama