Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Seramai 70 delegasi yang mewakili negara anggota ASEAN termasuk wakil dari Suruhanjaya ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-kanak (ACWC), mentor dan kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun telah menghadiri Forum Kanak-kanak ASEAN (ACF) kali ke-5 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Negara Brunei Darussalam pada tahun ini menjadi tuan rumah bagi forum berkenaan dengan tema ‘Our Children, Our Future, Our ASEAN’ yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Forum tersebut dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Pada forum tersebut, wakil istimewa Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) bagi Negara Brunei Darussalam, Marianne Clark-Hattingh telah menyampaikan ucaptamanya yang antara lain menjelaskan bahawa forum tersebut menumpukan kepada beberapa tajuk yang relevan ke arah mencapai matlamat pembangunan mapan (SDG) menjelang 2030.


Menurutnya lagi, perkembangan zaman digital juga turut memberi impak kepada peningkatan gangguan dan buli, di mana buli siber perlu dihentikan dan tidak boleh diambil ringan kerana ia mampu meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan sama ada dari segi mental dan juga fizikal.
“Terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi untuk mencapai SDG menjelang 2030,” tambahnya.
Forum tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan mari bercerita bertajuk ‘Pulau Labi-Labi’ oleh pemenang Peraduan Mari Bercerita Folklor ASEAN 2018, Awangku Muhammad Aqil Nurfail bin Pengiran Hasnul Bahrin dan Awang Waiz Amani bin Aminuddin.