Oleh Rokiah Mahmud
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Bulan Ramadan baru sahaja beberapa hari dilalui rakyat di negara ini dan juga negara-negara Islam lain dunia, namun kebanyakan restoran, kafe dan kiub makanan di negara ini berhadapan masalah lebihan makanan.
Premis makanan yang menawarkan pelbagai jenis makanan sungkai daripada makanan bajet sehinggalah yang mahal, mendapati semakin sukar untuk menangani masalah lebihan makanan di premis mereka setiap hari.
Di sebalik banyak kempen kesedaran yang dijalankan untuk mengingatkan orang ramai agar tidak membazir makanan dan pemilik restoran untuk menyediakan makanan dengan kesederhanaan, pembaziran makanan skala besar masih berlaku di premis-premis makanan. Wartawan mendekati sejumlah vendor makanan untuk bertanyakan pendapat bagaimana mereka menangani masalah lebihan makanan ini.
Dayang Nur Hakeemi yang sudah menjalankan perniagaan makanan hampir empat tahun, mengatakan setiap kali Ramadan, dia menyediakan pelbagai makanan. “Untuk sungkai, biasanya kami memasak sekurang-kurangnya 10 jenis makanan termasuklah daging, ayam, sayuran dan pelbagai lagi untuk memenuhi kesukaan pelanggan.
“Selalunya akan ada lebihan makan, khususnya selepas sungkai dan kami akan memberikan pelanggan yang datang kemudian, lauk dalam kuantiti yang agak banyak manakala jika masih ada lebihan, kami akan membungkusnya dan menghantarnya ke masjid untuk disedekahkan, agar tidak membazir,” tambahnya.

Seorang lagi peniaga makanan, Dayang Lisa A, sebaliknya menasihatkan peniaga dan pengendali makanan untuk menjual makanan berdasarkan permintaan pelanggan. Menurutnya vendor perlu merancang agar dapat menganggarkan berapa banyak makanan perlu disediakan dan mereka sepatutnya memasak makanan pada waktu perniagaan.
“Jika mereka tidak pasti jumlah pelanggan pada mana-mana hari perniagaan, mereka perlu menguji pasaran terlebih dahulu dan merancang kuantiti makanan sebaiknya,” katanya. Beliau juga menasihatkan pengendali dan premis makanan agar tidak menjual makanan yang sudah pun disimpan semalaman. “Ini adalah untuk mengelak menjual makanan basi dan mengelak keracunan makanan. Kualiti makanan perlu dikekalkan untuk menarik lebih ramai pelanggan,” tambahnya.
Manakala seorang lagi pengendali premis makanan, Awang Billah Hassan mengatakan, lebihan makanan seharusnya diberikan kepada masjid bukan sahaja untuk sungkai malah semasa tadarus yang sering diamalkan pada bulan Ramadan. Ia boleh diagihkan kepada jemaah masjid.