Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tangani secara kolektif

    Oleh Siti Nur Wasimah S.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Masalah perceraian dan kes anak tidak sah taraf di negara ini amat membimbangkan dan perlu ditangani segera secara kolektif melalui pendidikan agama yang mantap dan kesedaran masyarakat.

    Untuk itu, bi’ah atau persekitaran yang bersesuaian ciri-ciri keislaman akan dapat melahirkan individu Muslim yang sempurna akal, rohani dan jasmani dan juga pembentukan generasi berwawasan memerlukan ibu bapa memahami konsep psikologi Islam dalam pendidikan anak-anak semasa kecil hingga dewasa.

    Perkara itu ditekankan dalam resolusi Seminar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2017 yang dibentangkan oleh Ketua Bahagian Kertas Kerja, Perumus dan Pelapor, Dr Zulkifli bin Haji Zakaria pada majlis penutup seminar itu di Dewan Tarbiyyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.

    Menurut Dr Zulkifli lagi, “Gabungan pendekatan yang bersifat spiritual, nilai dan sistem Islam yang dinamakan pendekatan al-Tadayyun, al-Maqasidi dan al-Wasatiyyah merupakan asas pendekatan dalam memperkaya strategi dan panduan ke arah usaha keseimbangan keluarga dan kerjaya.”

    Begitu juga, pendidikan agama sejak kecil lagi adalah penting dalam mengatasi semua masalah sosial ini dan menggesa badan-badan sosial dan sukarelawan berilmu diperluaskan keterlibatan mereka dalam membantu penyelesaian isu-isu kekeluargaan dan mengatasi masalah sosial, tambahnya.

    Dato Paduka Haji Abdul Mokti hadir pada majlis penutup Seminar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah di KUPU SB.
    Dato Paduka Haji Abdul Mokti hadir pada majlis penutup Seminar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah di KUPU SB.
    Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati ketika membentangkan kertas kerja utama ketiga pada seminar tersebut.
    Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati ketika membentangkan kertas kerja utama ketiga pada seminar tersebut.

    Majlis penutup seminar yang dihadiri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud itu turut menyentuh mengenai isu keganasan dan masalah rumah tangga yang perlu diatasi melalui penguatkuasaan peraturan dan undang-undang syariah yang telah ditetapkan dan peranan ibu bapa adalah penting dalam membentuk sahsiah anak-anak yang bertakwa bersumberkan Al-Quran dan Al-Hadis.

    Beliau kemudian menyentuh mengenai beberapa cadangan seminar iaitu Fiqh al-Usrah perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan Islam sebagai kursus teras dan wajib di peringkat institusi pengajian tinggi dan juga kajian Fiqh al-Usrah perlu menerbitkan buku-buku bersiri mengenai pendidikan kekeluargaan Islam.

    Di samping itu juga, masjid dan media perlu berperanan dalam menyelesaikan isu-isu kekeluargaan melalui program-program berterusan yang mendedahkan panduan hidup berkeluarga secara Islam serta pengendalian kursus-kursus keibubapaan dan bengkel menghalusi Fiqh Al-Usrah dalam meningkatkan pengetahuan dan kefahaman keluarga dan masyarakat.

    Selain itu, kursus Maqasid al-Syariah perlu ditawarkan sebagai kursus teras di institusi pengajian tinggi.

    Terdahulu, majlis menyaksikan pembentangan kertas kerja utama ketiga bertajuk ‘Mengurus Keluarga dan Kerjaya dalam Organisasi: Analisis Menerusi Pendekatan al- Tadayyun, al-Maqasidi dan al-Wasatiyyah’ yang telah disampaikan oleh pembentang dari Jabatan Siasah Syari’yyah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy.

    Menurutnya, keluarga dan kerjaya adalah dua entiti yang tidak dapat dipisahkan dalam pembangunan kehidupan masyarakat Islam hari ini termasuk dalam kalangan wanita.

    Ditambah pula dengan dapatan kajian peningkatan isu stres di tempat kerja, jumlah penglibatan wanita dalam pekerjaan serta tuntutan kepada prestasi kerja dalam organisasi mengurus antara keluarga dan kerjaya menjadi suatu cabaran dan isu semasa.

    Namun begitu, tambah beliau, suatu analisis tentang apakah pendekatan Islam dalam mengurus hal tersebut khasnya melalui perbincangan pendekatan al-Tadayyun, al-Maqasidi dan al-Wasatiyyah didapati masih belum meluas.

    Analisis mendapati bahawa ketiga-tiga pendekatan ini mampu dijadikan asas menyediakan kerangka prinsip dan nilai utama sebagai suatu pendekatan dalam Pengurusan Keluarga dan Kerjaya Secara lslam (PKKI).

    Kertas kerja itu mencadangkan bahawa pendekatan tersebut adalah asas pendekatan dalam memperkayakan strategi dan panduan ke arah usaha keseimbangan keluarga dan kerjaya yang mana ia menjurus kepada usaha memperkukuhkan penghayatan beragama melalui 10 kaedah, kejelasan arah tuju serta penerapan nilai akhlak dalam memandu individu sama ada lelaki mahupun perempuan ke arah kejayaan dalam mengurus keluarga dan kerjaya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda