Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tangani segera beban long COVID

    KUALA LUMPUR – Apabila Ali Imran Mohd Noordin mendapati dirinya positif COVID-19 kali kedua pada bulan Julai tahun ini (2022), beliau menuruti nasihat doktor untuk dirawat di hospital selama empat hari dan diberi ubat antivirus COVID-19, Paxlovid keluaran Pfizer.

    Kali pertama beliau dijangkiti COVID-19 adalah pada bulan Ogos 2021 sebelum sempat mengambil vaksinasi. Bapa kepada lima orang anak ini memberitahu Bernama, meskipun pada masa itu gejala yang dialaminya sederhana, cuma demam dan hidung berair tetapi ia menginsafkan dirinya untuk lebih berhati-hati menjaga kesihatan diri

    “Januari tahun ini (2022) saya buat pemeriksaan perubatan penuh. Ketika itu baru saya tahu ada sesuatu yang tak kena dengan paru-paru saya. Ujian paru-paru saya tak memuaskan. Apabila saya dijangkiti kali kedua dan mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, doktor dapati ada parut di paru-paru saya,” kata beliau kepada Bernama menerusi Zoom.

    Meskipun beliau sudah pulih, Ali Imran masih belum dapat mencapai tahap kesihatan sebelum diserang COVID-19. Sehingga kini, beliau berkata masih belum dapat membuat kerja berat terlalu lama dan perlu berhenti untuk berehat.

    Bagi beliau yang baru mencapai usia 40 tahun ini, sudah tentu keadaan ini bagaikan igauan buruk. Ayahnya menghidapi masalah yang sama tetapi ayahnya berusia 65 tahun apabila doktor mengesahkan ada penyakit paru-paru. Beza usia dengan ayahnya lebih 20 tahun.

    Pakar epidemiologi, Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud. – Bernama
    Seorang pesakit COVID-19 menunggu rawatan. – Bernama
    Ahli ekonomi kesihatan, Prof Maznah Dahlui. – Bernama
    Para penyelidik mendapati majoriti orang yang sebelum ini sihat tidak menunjukkan gejala Long COVID. – Bernama
    Penyelesaian terbaik adalah dengan terus memakai pelitup muka, terutamanya di dalam bangunan. – Bernama

    Seakan jangkitan COVID ini sudah ‘menuakan’ organ dalaman Ali Imran dan mengakibatkan beliau menghadapi pelbagai isu kesihatan. Beliau sebenarnya bukan bersendirian dalam hal ini.

    Selepas hampir tiga tahun dunia dikejutkan dengan penularan COVID, dilaporkan jutaan pesakit di banyak negara mengalami kesan buruk penyakit ini, seperti kesukaran bernafas, rasa keliru dan keletihan melampau.

    Gejala yang boleh berlarutan ini turut dipanggil Long COVID, long-haul COVID, pasca COVID atau sindrom pasca-akut COVID. Kesemua gejala ini menyukarkan penghidapnya untuk bekerja dan menjejaskan kedudukan kewangan mereka.

    Impak ke atas ekonomi dan sistem penjagaan kesihatan juga boleh menjadi lebih buruk sekiranya negara yang terlibat termasuk Malaysia tidak melaksanakan dasar tindakan yang perlu sebagai kesiapsiagaan berhadapan dengan tenaga pekerja yang mungkin mudah jatuh sakit pada usia muda.

    Isu selepas COVID

    Dalam kes Ali Imran, beliau dengan berat hati melepaskan jawatannya dalam bidang kewartawanan beberapa bulan lalu untuk memberi tumpuan kepada pemulihan kesihatannya setelah tidak mendapat persetujuan majikan untuk kelonggaran dasar bekerja. Beliau juga terpaksa melupakan impiannya untuk meneruskan program Ijazah Sarjana yang diikutinya sebelum dijangkiti COVID.

    “Memang saya berasa sedih apabila mendapat penyakit COVID ini. Siapa yang mahu dijangkiti penyakit ini. Tambahan koronavirus ini memberi kesan teruk kepada kesihatan saya. Saya terpaksa berhenti kerja kerana mahu memastikan kesihatan saya pulih sepenuhnya,” katanya yang kini bekerja sebagai penulis bebas.

    Ada satu istilah iaitu The Great Resignation untuk orang-orang seperti Ali Imran yang memutuskan untuk berhenti kerja atas sebab kesihatan. Laporan Brookings Institution (Ogos 2022), menganggarkan sehingga empat juta orang tidak lagi boleh bekerja akibat isu kesihatan pasca COVID. Sementara itu, laporan lain oleh US Department of Health and Human Services menganggarkan sehingga 23 juta orang menghadapi Long COVID.

    Meskipun tidak ada perangkaan tepat mengenai fenomena ini, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan jumlah penganggur tidak aktif – termasuk mereka yang mungkin akan mencari pekerjaan sekiranya mereka tidak sakit – meningkat sebanyak 2,300 kepada 110,700 untuk tempoh Oktober 2022, berbanding 108,400 pada bulan September 2022.

    Orang lain dalam kategori ini termasuk mereka yang tidak mencari kerja kerana percaya tidak ada pekerjaan atau mereka tidak berkelayakan dan juga yang sedang menunggu hasil permohonan pekerjaan.

    Impak COVID-19 bukan setakat menghalang ketidakmampuan bekerja tetapi juga ada kaitan dengan ketidakmampuan untuk bekerja dengan baik.

    Bernama mendapati beberapa kes seperti ini, contoh, seorang eksekutif syarikat minyak dan gas berusia 53 tahun yang tidak mampu kembali bekerja kerana gejala Long COVID.

    Satu lagi kes, melibatkan seorang profesional perubatan dengan sejarah penyakit jantung yang perlu menjalani angioplasti pada usia 34 tahun dan perlu mengambil ubat jantung seumur hidup. Sebelum jangkitan COVID, beliau seorang pelari dan hiker.

    Seperti Ali Imran, sejarah perubatan keluarga nampaknya menjadi kenyataan lebih awal daripada yang dijangkakan.

    Pakar epidemiologi, Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud yang tidak terperanjat apabila mendengar kes-kes berkenaan menyatakan, COVID-19 adalah salah satu daripada penyakit berjangkit yang mempunyai kesan jangkitan yang panjang dan yang mungkin juga memendekkan jangka hayat.

    “Kerosakan akibat virus SARS-CoV2 tidak berakhir dengan penyingkiran virus berkenaan daripada badan. Hakikatnya, ia mencetuskan pelbagai keadaan selepas seseorang itu dikatakan pulih daripada jangkitan akut,” katanya menerusi emel.

    Menurut beliau, kajian menunjukkan bekas pesakit berkemungkinan mendapat dan mungkin meninggal dunia daripada penyakit yang tidak berjangkit (NCD), termasuk gangguan kardiovaskular dan diabetes, berbanding mereka yang tidak dijangkiti.

    Kajian British Medical Journal baru-baru ini mengesan seramai 54,000 orang di UK dalam tempoh empat bulan setengah dan mendapati mereka yang dijangkiti COVID dan mempunyai gejala sederhana berkemungkinan 10 kali ganda meninggal dunia akibat sebarang punca dalam tempoh empat bulan itu.

    Kajian US Veteran Affairs yang dikeluarkan pada bulan Februari 2022 dan melibatkan 150,000 subjek, mendapati risiko strok meningkat sebanyak 52 peratus dalam tempoh setahun selepas jangkitan dan risiko kegagalan jantung meningkat 72 peratus. Kanak-kanak juga mungkin menghadapi risiko ini.

    “Malahan kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada risiko ini dan ada bukti berlaku insiden gangguan yang jarang berlaku pasca jangkitan dalam kalangan kanak-kanak serta golongan remaja,” tambah Dr Awang Bulgiba.

    Pentingnya data

    Sebagai persediaan kepada jangkaan beban yang mungkin ditanggung oleh sistem penjagaan kesihatan Malaysia, ekonomi dan kekayaan isi rumah, data diperlukan, dan lebih baik sekiranya ia lebih terperinci.

    Untuk menghitung kos Long COVID kepada ekonomi memerlukan jumlah kes, sejauh mana teruknya jangkitan, berapa hari kerugian akibat penyakit, kehilangan kualiti kehidupan serta kos perubatan untuk merawat penyakit.

    Malangnya, pakar kesihatan dan ekonomik berkata, tidak ada data yang mencukupi di Malaysia buat masa ini.

    Jumlah kes COVID-19 yang direkodkan mungkin tidak dikira dengan tepat, demikian menurut kumpulan penyelidikan Analisis dan Strategi Epidemiologi (CEASe) COVID-19.

    Pengesanan jangkitan menurun meskipun lebih ramai orang dijangkiti atau dijangkiti semula.

    Dr Awang Bulgiba, yang juga sebahagian daripada kumpulan CEASe memberitahu Bernama, angka sebenar mungkin sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada angka rasmi yang dilaporkan.

    “Ini bermakna kita mungkin tidak mempunyai angka yang tepat untuk mereka yang menanggung Long COVID,” katanya menambah, perlu ada lebih banyak pelaburan dalam penyelidikan Long COVID bagi menentukan berapa lama kesannya akan berlarutan dan sama ada terdapat cara untuk menghalang kesan berkenaan menjadi kekal.

    Pada masa ini, terdapat beberapa kajian yang mengesan status kesihatan bekas pesakit COVID-19 dan pekerja penjagaan kesihatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), dikendalikan oleh ahli ekonomi kesihatan, Prof Maznah Dahlui.

    Beliau memberitahu Bernama, kajian berkenaan mengkaji sama ada subjek menghidapi gejala Long COVID, kerugian perolehan dan kualiti kehidupan.

    “Kami juga mengkaji mereka yang kembali bekerja. Kami mahu lihat berapa ramai yang mempunyai sejarah pengakuan COVID telah kembali bekerja dan sekiranya tidak, mengapa.

    “Sama ada atau tidak kerana syarikat ditutup atau kerana mereka tidak mampu melaksanakan tugas mereka yang terdahulu. Kadang-kadang mereka tidak lagi bekerja kerana sudah diberhentikan kerja atau mereka mungkin masih bekerja tetapi melakukan pekerjaan yang lain,” katanya.

    Beliau berkata, setakat ini, para penyelidik mendapati majoriti orang yang sebelum ini sihat tidak menunjukkan gejala Long COVID. Beliau menambah, Long COVID adalah lebih biasa dalam kalangan mereka yang dimasukkan ke hospital dan juga warga emas.

    Bagaimanapun, Dr Maznah berkata, jangkitan COVID-19 mungkin menyebabkan gejala baharu atau memburukkan lagi keadaan kesihatan selepas sembuh dan menambah, Malaysia tidak bersedia untuk beban pasca pandemik ke atas sistem penjagaan kesihatan.

    “Kita mempunyai beban berganda penyakit. Kita masih bertarung dengan penyakit berjangkit seperti batuk kering, denggi, malaria dan dalam masa yang sama kita semakin banyak mendapat NCD seperti diabetes, kebanyakannya penyakit berkaitan obesiti,” katanya.

    Beliau menambah, kerajaan Malaysia perlu meningkatkan belanjawan penjagaan kesihatan daripada jumlah semasa 2 peratus KDNK, dan melabur lebih dalam penjagaan kesihatan pencegahan.

    Dr Maznah, yang juga pakar kesihatan awam di UMMC berkata, perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia serta sistem penghantaran secara umumnya adalah baik, tetapi liputan kewangan penjagaan kesihatan iaitu ubat-ubatan, masih kurang.

    “Buat masa ini, kalau pun awda tidak mempunyai wang, awda masih boleh mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan hanya membayar RM1 – tetapi awda perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membeli ubat, terutamanya ubat untuk kanser, dan ubat ini boleh menjadikan seseorang itu jatuh miskin,” katanya.

    Memandangkan kos perubatan akan terus melambung, beliau berkata, Malaysia perlu melaksanakan insurans kesihatan kebangsaan atau skim insurans kesihatan sosial bagi menampung penjagaan kesihatan dengan membayar, antaranya untuk ubat-ubatan.

    Sementara itu, Dr Awang Bulgiba berkata, penyelesaian terbaik adalah mengelakkan daripada dijangkiti atau dijangkiti semula dengan terus memakai pelitup muka, terutamanya di dalam bangunan.

    Beliau juga meminta pihak berkuasa kesihatan memikirkan struktur kekal untuk vaksinasi COVID bagi menyediakan dos penggalak dan vaksin baharu apabila diperlukan.

    “Buat masa ini, apa yang dilakukan berdasarkan keadaan tetapi perancangan untuk vaksinasi sepatutnya sudah dibuat,” katanya.

    Soal tenaga pekerja, ramai menghidap masalah pasca COVID tidak lama lagi tidak perlu membuat pilihan antara kesihatan dan pekerjaan mereka, apabila pindaan Akta Kerja dilaksanakan bagi membolehkan peraturan kelonggaran kerja dikuatkuasakan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda