Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk sama ada di bandar atau di kampung, setentunya memerlukan satu rangkaian hubungan yang efisien, melalui institusi mukim dan kampung, di mana apa juga perkara mengenai penduduk dan rakyat di mukim dan kampung itu dapat disalurkan.
Selain melantik penghulu mukim dan ketua kampung yang berwibawa dan mempunyai kualiti kepimpinan, mereka juga perlu diperkasa dengan keupayaan untuk menangani masalah keperluan mukim dan kampung dan permasalahan anak buah tanpa menunggu respons yang lama daripada mana-mana pihak yang berkenaan.
Perkara berkenaan ditekankan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman semasa berlangsungnya hari kelima Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-20 di Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
Menyentuh banyak masalah orang ramai yang dimaklumkan kepada Yang Berhormat Pehin yang secara kebiasaannya dinasihatkan untuk merujuk kepada ketua kampung dan ketua kampung telah pun mengambil tindakan yang bersesuaian menghadapkan kepada pihak tertentu tetapi ia sampai setakat itu sahaja.
Tambah Yang Berhormat Pehin lagi, apa yang dihadapkan seperti permohonan bantuan segera kewangan bagi keluarga yang miskin seperti tiada duit untuk keperluan belanja dapur, tempat tinggal dan membaiki rumah, tempat tinggal yang tidak selamat yakni yang hampir runtuh, senget dan sebagainya, didapati tidak ada tindakan segera yang telah diambil.
“Mungkin perlu diwujudkan mekanisme di mana bantuan dapat disalurkan segera, jika belanja dapur boleh disalurkan pada hari yang sama, tanpa menunggu sangat lama agar masalah yang dihadapi mereka tidak berlarutan,” tekannya.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin mencadangkan agar kesegeraan dalam kita menanganinya adalah litmus test kejayaan kita menjaga kesejahteraan rakyat, di mana mesti ada akauntabiliti agar tidak disalah guna oleh mana-mana pihak.
Dalam menjawab persoalan berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman berkata sememangnya tugas penghulu mukim dan ketua kampung ini adalah orang yang awal sekali ‘diagai’ oleh orang kampung jika ada masalah termasuklah orang-orang susah. Maka dalam perkara ini, bantuan daripada rakan-rakan kementerian seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) turut banyak membantu khususnya dari segi permohonan bantuan melibatkan hal ehwal kemasyarakatan.
Apa yang dilihat juga, jelas Yang Berhormat Dato, terdapat penghulu mukim dan ketua kampung itu memainkan peranan mereka dengan mengeluarkan kewangan peribadi mereka untuk membantu orang-orang kampung yang mengalami masalah yang mana ia jelas menunjukkan semangat ihsan mereka di samping dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.



