PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) terima pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) di atas pengiktirafan Tangga Putrajaya di Taman Putra Perdana Presint 1, Putrajaya berjaya diiktiraf sebagai “The Longest Stairway In A Public Park”.
Sijil Malaysia Book Of Record disampaikan oleh Puan Lee Pooi Leng sekretariat MBOR kepada Naib Presiden Kanan PPj, Dato’ TPr. Fadlun Bin Mak Ujud.
Pembinaan Tangga Putrajaya (seluas 1.2 ekar) di atas cerun Taman Putra Perdana dilihat dapat menarik perhatian pelancong sepertimana di Spanish Steps di Itali, Potemkin Stairs di Ukraine dan tidak kurang juga Batu Caves di Malaysia yang menjadikan ianya lokasi wajib singgah oleh pelancong-pelancong di seluruh dunia.
Berfungsi sebagai salah satu akses masuk dan melengkapkan pembangunan Taman Putra Perdana, ianya menghubungkan kawasan tumpuan pelawat iaitu dari Dataran Putra menuju ke Mercu Tanda dan ke Hotel Pulse Grande. Tangga Putrajaya berbentuk paksi lurus (axis) ini, memiliki 250 anak tangga dan berketinggian 30m serta memiliki jarak pendakian sejauh 200m sesuai untuk dijadikan lokasi bersukan, beriadah dan berekreasi secara santai bersama keluarga dan pelawat yang datang.
Pada masa yang sama, pelawat dapat menikmati pemandangan indah Putrajaya dari atas puncak Taman Putra Perdana.
Reka bentuk pembinaan tangga yang dihiasi jaluran pokok Tecoma yang menanti untuk berbunga secara serentak akan memberikan kesan warna merah jambu disepanjang tangga tersebut. Kiri kanan dan di tengah laluan tangga juga dihiasi pokok-pokok renek pelbagai warna yang dapat memberikan pemandangan menarik yang boleh dijadikan sebagai ‘Tangga Ikonik’ di Putrajaya. Tangga Putrajaya telah mula dibina pada 5 Mei 2021 dan diserahkan sepenuhnya pada 5 Januari 2022.
Baru-baru ini, PPj juga merangkul pengiktirafan dalam MBOR selepas berjaya melaksanakan Pemetaan Pencahayaan Terbesar pada Tangga Terbuka yang dipancarkan pada Tangga Putrajaya selama empat hari, mulai 26 Januari lepas.
Naib Presiden Kanan PPj Datuk Fadlun Mak Ujud dalam kenyataan hari ini berkata persembahan pemetaan pencahayaan itu memaparkan video yang berkisar mengenai pencapaian serta kemajuan semasa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.- Bernama