Berbagai-bagai alasan yang akan diberikan oleh orang di sekeliling kita jika pakaian mereka kotor ketika mengajak untuk solat bersama.
Justeru, kadangkala situasi itu membuatkan segelintir orang mengalami kekeliruan kerana bagi mereka, hendak menghadap Allah SWT mestilah dalam keadaan yang bersih dan cantik.
Namun, bolehkah kita menggunakan alasan-alasan berkenaan untuk menangguhkan solat? Ketahuilah bahawa syarat sah solat adalah menghindari badan, tempat solat dan pakaian daripada najis. Dalam erti kata lain, solat tidak sah jika salah satu yang disebutkan itu terkena najis.
Sebagaimana firman Allah SWT yang tafsirnya:
“Dan pakaian kamu hendaklah engkau sucikan.” (surah al-Muddathir: 4)
Para ulama tafsir menyatakan, maknanya boleh diambil secara zahir iaitu menyucikan pakaian ataupun secara batin iaitu menyucikan diri daripada syirik, takabbur dan sifat-sifat mazmumah yang lain.
Imam Ibnu ‘Abidin menyatakan, najis ialah sesuatu yang dapat dilihat yang merupakan kotoran dari sudut syarak seperti tahi, air kencing, bangkai, anjing dan babi serta selainnya.
Adapun, tanah hukum asalnya adalah suci selagi mana tidak terdapat najis padanya. Oleh sebab itu, jika tiada air, maka tanah digunakan sebagai alat untuk bertayamum. Begitu juga dengan benda-benda lain seperti sambal, kicap ataupun sos, dan lain-lain jika terkena pada pakaian tidak dianggap kotor. Justeru janganlah kita ‘mencipta’ alasan untuk menangguhkan solat. – Agensi