KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Atlet gimnastik artistik wanita Malaysia, Farah Ann Abdul Hadi mungkin mengakhiri penampilan sulungnya di Olimpik dengan linangan air mata, namun kini beliau mampu tersenyum – terima kasih kepada banyak hantaran positif dan memberangsangkan oleh peminatnya dalam media sosial.
Gimnas berusia 27 tahun itu kelihatan hampa apabila meninggalkan Pusat Gimnastik Ariake semalam (25 Julai) selepas menamatkan saingan pada kedudukan ke-68 dalam kelayakan all-around individu, sekaligus menamatkan perjuangannya di Jepun.
Farah Ann yang mengenakan leotard berwarna jingga, melengkapkan pusingan kelayakan dengan mengumpul markah keseluruhan sebanyak 48.565 mata.
Keadaan itu bukan sahaja meninggalkan kesan pada emosinya, tetapi fizikal beliau turut mempunyai parut selepas beraksi pada acara semalam.
“When you wake up after the Olympic Games’s battle scars… (Apabila anda bangun dengan parut selepas bertanding pada Sukan Olimpik…),” katanya dalam hantaran Instagram Story sambil menunjukkan beberapa kesan lebam berwarna merah pada kedua-dua lengannya. – Bernama