Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 8 Jan – Tangisan dan teriakan memanggil ibu bapa sudah menjadi kelaziman bagi murid-murid pra yang baru memasuki alam persekolahan dan suasana ini dapat dilihat di Sekolah Persatuan Tanjong Maya (PERTAMA), Tutong di mana lebih 80 orang murid pra telah mendaftar masuk, pagi tadi.
Pemangku Guru Besar Sekolah PERTAMA, Dayang Noor Hakymah binti Abdullah turut hadir meninjau beberapa buah Kelas Pra dan mengalu-alukan kehadiran ibu bapa, penjaga dan murid-murid pra sekolah yang baru mendaftar.
Bagi membantu guru-guru mengawal murid-murid yang menangis dan ketakutan, setiap Kelas Pra disediakan seorang penolong sementara bagi membantu guru-guru untuk meredakan tangisan murid-murid serta mengawal kanak-kanak yang lain.
Selama seminggu iaitu bermula hari ini, murid-murid pra yang mendaftar masuk bagi Pra 1 dan Pra 2 akan menjalani sesi orientasi sebelum hari persekolahan biasa dijalankan.

Sekolah PERTAMA merupakan salah sebuah sekolah swasta di Daerah Tutong milik Persatuan Tanjong Maya Tutong yang mula beroperasi pada 1 Januari 1990.
Pada masa kini, lebih 400 orang murid telah menuntut di sekolah berkenaan bermula dari Pra 1 sehingga Tahun 6 dan mempunyai lebih 30 tenaga pengajar tempatan.
Antara subjek yang akan dipelajari murid-murid pra sekolah ini adalah Numerasi (kira-kira), Literasi sama ada dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, Kesihatan dan Keselamatan, Pergerakan dan Permainan, Nyanyian dan Lakonan, Asuhan Budi dan Lukisan serta Kraf Tangan.