Saturday, March 22, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tangkap belut jadi sumber rezeki

    PASIR SALAK, 21 MAC – Bukan sekali dua ‘disapa’ ular berbisa termasuk tedung senduk dan tedung selar, namun Amirul Hafiz Zulkifly tidak serik untuk kembali ke kawasan paya dan sawah padi di sekitar Kampung Tersusun Teluk Memali di sini bagi memburu belut.

    Lebih 10 tahun bergelumang dengan lumpur di situ, Amirul Hafiz, 25, sudah alah bisa tegal biasa dengan reptilia berkenaan masuk ke dalam perangkap belut yang dipasangnya, belum lagi diambil kira yang menyusur belukar. 

    “Mula-mula dulu rasa takut juga sebab kerap kali ular masuk perangkap, tetapi lama-kelamaan saya sudah lali. Saya cuma lebih berhati-hati, baik ketika mengharung lumpur ataupun semasa mengangkat perangkap kerana silap langkah boleh mengundang maut,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Muhammad Amirul Hafiz Zulkifly menunjukan perangkap khas yang dihasilkan sendiri menggunakan PVC sepanjang satu meter. – Bernama

    Mesra dipanggil Meoi, anak muda itu berkata kegiatan tersebut merupakan sumber pendapatan sampingan yang lumayan, terutama ketika Ogos hingga Februari apabila populasi belut, atau nama saintifiknya Monopterus javanensis, meningkat dengan banyak. 

    “Saya buat sendiri perangkap menggunakan batang paip PVC sepanjang satu meter. Buat masa ini saya ada 50 unit yang saya akan turun pasang setiap hari sekitar jam 7 malam dan akan kembali pada jam 8 pagi esok untuk lihat hasil,” kongsinya.

    Muhammad Amirul Hafiz Zulkifly meletakkan perangkap ke dalam kawasan semak. – Bernama

    Muhammad Amirul berkata dia mampu meraih pendapatan sekitar RM50 hingga RM200 sehari bergantung pada hasil tangkapan.

    “Antara sebab saya suka lakukan aktiviti ini kerana permintaan serta harganya yang agak tinggi di pasaran iaitu sekitar RM18 hingga RM20 sekilogram.

    Belut yang telah masuk ke dalam perangkap setelah dibiar semalaman – Bernama

    “Selain itu, daging belut ini disukai oleh pelbagai golongan kerana isinya yang lebih lembut dan enak berbanding ayam. Ada juga yang makan kerana percaya belut mampu mengubati penyakit asma,” katanya.

    Melihat belut berpotensi menjana pendapatan lumayan, anak muda ini berhasrat menjalankan kegiatan menternak belut suatu hari nanti. 

    Belut yang ditangkap dimasukkan ke dalam bekas. Harga belut di pasaran boleh mencapai RM20 sekilogram. – Bernama

    “Memang jadi cita-cita dan impian untuk ada pusat ternakan sendiri satu masa nanti. Buat masa ini saya masih dalam proses pembelajaran berkenaan cara-cara menternak belut ini,” katanya yang sedar impiannya itu bukan mudah untuk direalisasikan kerana memerlukan modal besar.

    Muhammad Amirul Hafiz Zulkifly bercita-cita memiliki pusat ternakan belut satu masa nanti. – Bernama

    “Berdasarkan apa yang saya pelajari, tempoh matang belut sekitar lapan bulan, jadi bukan satu tempoh yang singkat. Namun saya yakin, jika saya dapat usahakannya dengan baik saya mampu hasilkan belut berkualiti tinggi untuk penuhi permintaan,” tegasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda