GUWAHATI, INDIA, 22 DIS – Tindakan bagi membanteras perkahwinan kanak-kanak secara haram di Assam, timur laut India membawa kepada hampir 5,000 tangkapan, dengan seramai 416 orang ditahan dalam operasi terbaharu dijalankan polis di negeri ini.
“Kita akan terus mengambil langkah tegas untuk menamatkan jenayah sosial ini,” kata Ketua Menteri Negeri Assam, Himanta Biswa Sarma, dalam satu kenyataan.
“Assam meneruskan perjuangannya menentang perkahwinan kanak-kanak,” tambahnya, serbuan telah dilakukan semalaman dan mereka yang ditangkap akan dihadapkan di mahkamah hari ini.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lebih 220 juta kanak-kanak di India yang didapati sudah berkahwin, namun bilangannya menurun secara mendadak pada abad ini.
Di Assam, bermula pada Februari lalu, ribuan individu ditahan dalam usaha membanteras salah laku terbabit termasuk ibu bapa pasangan suami isteri dan pendaftar yang menandatangani pertunangan bawah umur.
Ia menjadikan jumlah tangkapan terkini melebihi 4,800 orang.
Biswa Sarma turut menjalankan kempen untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak sepenuhnya di negeri itu sehingga 2026.
Untuk rekod, usia perkahwinan yang sah di India ialah 18 tahun namun jutaan kanak-kanak terpaksa mengikat tali pertunangan ketika mereka masih muda, terutama di kawasan luar bandar yang lebih miskin. – AFP