Oleh Amri HTZ –
Fingerboard merupakan sebuah permainan yang popular dalam kalangan pemain papan selaju.
Permainan tersebut bukanlah sesuatu yang baharu, malah pernah terkenal pada zaman 90an. Memainkannya secara bersahaja setentunya memberikan keseronokan namun jika memiliki tanjakan khusus untuknya akan menjadikan detik memainkannya lebih terasa luar biasa. Untuk merekanya, terlebih dahulu sediakan barangan penting untuknya.
Barangan diperlukan
Mesin jig
Papan lapis 12mm
Helaian plastik 1mm
Gam kayu
Paku atau skru
Mesin circular
Kertas pasir
Alat pengukur
LAKAR BENTUK DIPERLUKAN
Tanjakan fingerboard ini terdiri daripada lapan bahagian iaitu rangka tanjakan tengah, kiri, kanan, bahagian bawah, penutup bahagian sisi kiri, kanan dan bahagian penutup atas kiri dan kanan. Kayu setiap bahagian terbuat daripada papan lapis mempunyai panjang 60cm, dengan tinggi 20cm berbalas 14.5 (rangka sisi kanan dan kiri), 18.8cm berbalas 13.3 (rangka tengah), dan lebar 27.6cm untuk bahagian bawah. Manakala kayu bahagian sisi kiri mempunyai lebar berukuran 21.2cm, sisi kanan (15.7cm), atas kanan (6.7cm) dan atas kiri 4.8cm dengan kesemuanya mempunyai panjang 30cm. (gambar 2)
Lakar ukuran diperlukan pada permukaan kayu menggunakan pensel. Rangka utama pada bahagian tengah yang merata mempunyai panjang 10cm. Sementara bahagian dalam kedua-dua kiri dan kanan akan dibentuk separa bulatan. Bagi memudahkan langkah membentuk separa bulatan, gunakan tali yang diikat hujungnya dengan pensel sementara bahagian hujung satu lagi ditetapkan menggunakan paku pada bahagian tengah kayu rangka. (gambar 3)
POTONG KEMUDIAN CANTUM
Berjaya melakarnya, potongkan kesemua bahagian yang menggunakan mesin circular terutamanya bahagian yang mempunyai sudut rata. Sementara bahagian yang melengkung akan dipotong menggunakan mesin jig. (gambar 4)










Mulakan proses mencantumkan dengan menandakan bahagian tengah kayu bahagian atas kiri dan kanan bagi menentukan kedudukan kayu rangka tengah. Ini diikuti dengan rangka kiri dan kanan. Gunakan skru atau paku untuk menetapkannya dengan penggunaan gam kayu untuk mengukuhkan cantuman. (gambar 5)
Langkah mencantumkan akan diikuti dengan bahagian sisi kiri dan kanan serta bahagian bawah. Setelah gam mengering, pastikan lelehan gam yang telah mengering dibuang menggunakan pahat kayu dan permukaan menajam dihaluskan dengan kertas pasir. (gambar 6)
Helaian plastik yang akan dijadikan permukaan utama terlebih dahulu dipotong menggunakan gunting sebelum membolehkannya ditetapkan. Semasa memotongkannya, lebihkan potongan sedikit daripada ukuran sebenar bagi membolehkan pembetulan dibuat jika berlaku kesilapan. Permukaan cantuman terlebih dahulu disapukan sedikit dengan gam silikon sebelum menetapkannya menggunakan paku. (gambar 7)
Setelah gam silikon mengering, lebihan helaian plastik sebelumnya akan dipotong menggunakan pisau utiliti untuk membersihkan dan meratakannya dengan struktur rekaan. Kertas pasir juga boleh digunakan untuk membuangkan permukaan menajam plastik selepas dipotong. (gambar 8)
Bahagian bertingkat antara kayu rangka utama dan bahagian atas kiri dan kanan pula akan ditutup menggunakan besi rod berdiameter 1cm. Setelah memotongkannya dengan panjang diperlukan, semburkan cat pada keseluruhan permukaan besi sebelum menetapkannya pada permukaan tersebut menggunakan gam silikon. (gambar 9)
Dalam memastikan bahagian sisi permukaan rekaan di mana rod akan ditempatkan tidak kotor dengan lebihan gam silikon, gunakan pita perekat untuk menutupi sekali gus melindunginya. Bagi awda yang sukakan rekaan yang seakan-akan meniru bentuk sebenar, cetak dan lekat simbol-simbol yang berkaitan dengan jenama papan selaju. (gambar 10)
Tip
Setiap permukaan sama ada kayu, plastik dan besi yang dipotong perlulah rata dan tidak tajam bagi mengelakkan kecederaan.
Paku rapat bahagian helaian plastik bagi memastikannya melengkung dengan sempurna mengikut permukaan dalam rangka rekaan.
Paku berukuran kecil dan mempunyai kepala yang nipis merupakan yang terbaik digunakan bagi menetapkan helaian plastik agar fingerboard tidak tersekat ketika dimainkan.

