Tanpa pelancong dan lapar, monyet di bali serang rumah kampung

INDONESIA – Akibat kehilangan sumber makanan pilihan mereka seperti pisang, kacang tanah dan makanan lain yang selalunya dibawa oleh pelancong kini tiada akibat sekatan koronavirus menyebabkan monyet-monyet di pulau peranginan Bali dalam kelaparan dan menyerbu rumah orang kampung untuk mencari makanan.

Penduduk kampung di Sangeh, Indonesia mengatakan bahawa monyet-monyet jenis ekor panjang berwarna kelabu telah menjelajah keluar dari tempat perlindungan yang terletak kira-kira 500 meter dari kampung itu menaiki atas bumbung mereka dan menunggu masa yang tepat untuk mencuri makanan ringan.

Penduduk kampung bimbang serangan monyet-monyet liar atau mengganas di kampung akan meningkat, penduduk telah membawa buah, kacang dan makanan lain ke Sangeh Monkey Forest untuk berusaha menenangkan haiwan itu.

“Kami takut monyet yang kelaparan akan menjadi liar dan ganas,” kata penduduk kampung Saskara Gustu Alit.

Kira-kira 600 ekor monyet tinggal di tempat perlindungan hutan berkenaan, berayun dari pohon-pohon tinggi dan melompat ke kuil Pura Bukit Sari yang terkenal dan dianggap suci.

Seorang pekerja menyediakan pisang untuk diberi makan kepada monyet. – AP
Made Mohon, pengurus operasi Sangeh Monkey Forest, memberi makan monyet kacang tanah yang disumbangkan di tempat tarikan pelancongan yang terkenal di Sangeh. – AP

Seorang pekerja memberi makanan kepada monyet di Sangeh Monkey Forest di Sangeh, Pulau Bali, Indonesia. Disebabkan tiada pelancong akibat koronavirus, monyet di sana kelaparan. – AP

Pada waktu biasa kawasan hutan yang dilindungi di tenggara pulau Indonesia sangat terkenal di kalangan penduduk tempatan yang selalu dijadikan destinasi tempat mengambil gambar perkahwinan dan juga dalam kalangan pelancong antarabangsa. Monyet-monyet yang agak jinak dapat dengan senang dipujuk untuk duduk di bahu atau pangkuan para pengunjung bagi mendapatkan kacang yang diberikan.

Biasanya, pelancongan adalah sumber pendapatan utama bagi 4 juta penduduk Bali, yang menyambut lebih daripada 5 juta pelawat asing setiap tahun sebelum wabak tersebut.

Sangeh Monkey Forest biasanya mempunyai sekitar 6,000 pengunjung sebulan, tetapi ketika wabak itu merebak tahun lalu dan perjalanan antarabangsa menurun secara mendadak, jumlah itu menurun kepada sekitar 500 orang sebulan.

Sejak bulan Julai lalu, ketika Indonesia melarang semua pelancong asing datang ke pulau itu dan menutup tempat perlindungan, ia kini kelihatan lengang.

Bukan sahaja itu, tidak ada orang yang membawa makanan tambahan untuk monyet, tempat perlindungan juga kehilangan pendapatan dan kehabisan wang untuk membeli makanan untuk mereka, kata pengurus operasi Made Mohon.

Sumbangan daripada penduduk kampung telah membantu, meskipun ekonomi mereka juga turut terkesan dan cuba membantu sedikit, katanya.

“Pandemik yang berpanjangan ini di luar jangkaan kita,” kata Made Mohon. “Makanan untuk monyet menimbulkan masalah.”

Kos makanan sekitar 850.000 rupiah (AS$60) sehari, kata Made Mohon, untuk 200 kilogram ubi kayu dan 10 kilogram pisang untuk makanan monyet tersebut.

Monyet-monyet itu boleh memakan pelbagai jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di hutan, tetapi kumpulan yang berada di Sangeh Monkey Forest telah berhubungan dengan manusia selama bertahun-tahun sehingga nampaknya ia lebih menyukai makanan lain.

Dan ia tidak takut untuk meng-ambil makanan dengan sendiri, kata Gustu Alit.

Sering kali, monyet merayau ke kampung dan duduk di bumbung, sesekali membuka jubin bumbung dan menjatuhkannya ke tanah. Ketika penduduk kampung memberikan menghadapkan makanan untuk sembahan kepada tuhan mereka di kuil-kuil, monyet-monyet itu melompat turun dan mengambilnya.

“Beberapa hari yang lalu saya menghadiri upacara tradisional di sebuah kuil dekat hutan Sangeh,” kata Gustu Alit.

“Ketika saya meletak kereta saya dan mengeluarkan dua beg plastik yang berisi makanan dan bunga sebagai persembahan, dua monyet tiba-tiba muncul dan mengambil semuanya dan berlari ke hutan dengan pantas.”

Biasanya, monyet menghabiskan masa seharian berinteraksi dengan pengunjung, mencuri cermin mata hitam dan botol air, menarik pakaian, melompat di bahu dan mengikut teori Gustu Alit, haiwan-haiwan itu bukan sahaja sekadar lapar, ia juga bosan.

“Itulah sebabnya saya telah mendesak penduduk kampung di sini untuk datang ke hutan bermain dengan monyet dan menawarkan makanan,” katanya.

“Saya rasa ia perlu berinteraksi dengan manusia sekerap mungkin agar ia tidak jadi liar.” – AP