NAIROBI, 11 MAC – Tanzania telah mengesahkan dua kes pertama mpox, kata Kementerian Kesihatan negara itu kelmarin, kali pertama virus itu dikesan dalam wabak yang telah melanda beberapa negara Afrika.
Dua individu yang menunjukkan simptom telah diasingkan dan diuji pada Ahad lalu, menurut kenyataan Menteri Kesihatan, Jenista Mhagama di X.
“Salah seorang mangsa ialah pemandu lori yang datang dari negara jiran ke Dar es Salaam,” kata kenyataan itu.
Dalam laporan agensi kesihatan Kesatuan Afrika minggu lalu, 6,034 kes mpox telah disahkan sejak Januari di 22 negara, menyebabkan 25 kematian.
Mpox, yang disebabkan oleh virus yang sama seperti cacar, boleh merebak antara manusia melalui sentuhan fizikal. Ia menyebabkan demam, sakit otot dan luka besar pada kulit seperti bisul, serta boleh membawa maut.
Selain itu, virus tersebut mempunyai dua varian iaitu Clade 1 dan Clade 2.
Penyebarannya mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa yang merupakan amaran tertinggi mereka pada Ogos 2024. – AFP
