TAO merupakan ‘Guru Yoga Tertua Dunia’ yang masih mengajar lima kelas seminggu dalam umur 98 tahun. Tao Porchon-Lynch adalah lambang kesihatan dan positiviti di dalam dunia yang obses dengan kesejahteraan dan kesihatan. Bekas model dan pelakon kontrak Hollywood itu – yang pernah mendapat gelaran Guinness World Record – masih lemah gemalai dan mempunyai susuk tubuh yang langsing.
Tao membesar di India dan tinggal di pinggir bandar New York. Dia menjelajahi dunia dan menghadiri kelas-kelas rekreasi yoga. Dia akan bertolak dari rumahnya di Hartsdale, Westchester County ke studionya menggunakan kereta model Smart. Dia akan mendemonstrasikan gaya-gaya yoga walaupun kadang-kadang dia akan mengarahkan seorang daripada pelajarnya yang berdedikasi untuk menunjukkannya kepada yang lain.
Meskipun begitu, pengajarannya lebih tertumpu kepada penyampaian semangat hidup daripada yoga, yang telah membantunya selama hampir seabad. Tao pernah bertemu dengan Gandhi dan Marlene Dietrich. “Jangan takut,” katanya kepada pelajarnya. “Jangan biarkan orang lain memberitahu apa yang kamu tidak boleh buat.” Dia juga menasihati pelajarnya agar tidak berputus asa walaupun keletihan. “Tarik nafas, rasai aura kehidupan dalam diri kamu.”
Pelajar-pelajarnya dari pelbagai umur mula menjadi pengikutnya. “Saya melakukan perkara yang saya fikir mustahil,” kata Julie Ann Ulbrich, 52 tahun yang telah mengikuti kelas Tao selama lapan tahun. Dia memberi saya harapan, walaupun berumur 98 tahun, dia masih memandu dan hidup sendiri.
Masih lagi kuat
Dalam masyarakat barat yang semakin gigih untuk menghalang penuaan, amalan kerohanian Tao telah menjadikannya seorang selebriti yang mempunyai ramai pengikut dalam atas talian. Dia juga merupakan atlet yang ditaja oleh Athleta, jenama pakaian yoga perempuan dan pakaian aktif yang dimiliki oleh Gap Inc. Malahan, gambarnya juga menghiasi muka depan majalah terbaru jenama itu.
“Saya percaya dengan alam semula jadi dan saya percaya dengan pernafasan. Saya tidak mahu berdoa kepada sesuatu atau sesiapa di luar sana; saya mahu berdoa kepada diri dalaman saya,” jelasnya. “Lihat pokok-pokok itu. Pokok-pokok itu berusia ratusan tahun, pada ketika ini semuanya kelihatan terdedah, seperti rangka, mereka kelihatan mati, tapi sebenarnya tidak – mereka mengitar semula diri mereka,” katanya sambil merujuk kepada musim sejuk. “Pokok-pokok itu tidak akan menjadi tua, mereka kuat”.
Meskipun begitu, hidupnya tidak bermula dengan kesenangan. Dia dilahirkan pada 13 Ogos 1918, penghujung Perang Dunia pertama. Ibunya meninggal dunia semasa dia baru berumur tujuh bulan dan ayahnya menyerahkannya kepada pakcik dan makciknya yang membesarkannya di Pondicherry dan kemudian ke sebahagian India jajahan Perancis.
Dia dibesarkan sebagai vegetarian dan bahasa pertamanya merupakan Perancis dan Hindu. Ketika dia masih kecil, dia mengembara ke beberapa buah negara dengan pakciknya yang mereka bentuk projek-projek kereta api.
Pada umur 12 tahun, Tao berjumpa dengan Gandhi ketika beliau melawat rumah keluarga Tao – “seorang lelaki lucu yang berkaca mata duduk di lantai dan semua orang tunduk kepadanya” – katanya sambil cuba mengingati. Tiga minggu kemudian, pakciknya membenarkannya turut serta dalam ‘Gandhi’s Salt March’. Melalui bapa kemodenan India dan pakciknya itu, Tao belajar untuk tidak menunjukkan rasa benci kepada orang dan menganggap semua orang sama dan dalam satu perpaduan.
Tarian Ballroom
Tao meninggalkan Eropah semasa bermulanya Perang Dunia Kedua untuk mencari bapanya, yang dipanggil ke Perancis. Dia mendapat perlindungan dari seorang makcik yang memperkenalkannya kepada dunia wain – satu daripada minatnya – dan rintangan Perancis. Selepas Jerman menangkap seorang komrad, Tao mengembara ke London di mana dia mempersembahkan tarian India untuk tentera-tentera Amerika.
Di sanalah dia bertemu dengan Dietrich yang menjadi “kawan rapatnya”. Selepas perang, dia pulang ke Perancis dan menjadi model untuk Lanvin sebelum mengembara lagi ke Amerika Syarikat untuk pertama kalinya pada tahun 1948. Tao akhirnya pulang ke Amerika setahun selepas itu dan bekerja di Hollywood di bawah kontrak MGM untuk beberapa tahun.
Di Kalifornia, dia menjadi guru yoga setelah mengamalkannya sejak kecil, walaupun dilarang oleh penjaganya yang mengatakan itu bukan untuk perempuan. Seorang kenalan India menekankan agar dia mula mengajar. Pelajar pertama Tao merupakan Debbie Reynolds dan Kathryn Grayson. Dia kemudian pulang ke India untuk meningkatkan pengetahuannya dari guru yoga terkenal, Krishna Pattabhi Jois.
Tao berkahwin dengan Bill Lynch, seorang broker insurans, selama 20 tahun sehingga dia meninggal dunia pada tahun 1982. Namun pasangan itu tidak mempunyai anak dan saudara-mara. “Pelajar-pelajar saya adalah anak-anak saya,” jelasnya. Beliau akan menyambut hari jadinya dengan pelajar-pelajarnya. Jika yoga tidak dapat menjadikannya muda di hati, dia juga akan menari ballroom dengan pasangan yang 70 tahun lebih muda darinya. – AFP