BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan telah meneruskan lagi jerayawara kepada majikan-majikan baharu berdaftar yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, di sini, baru-baru ini.
Jerayawara pada 26 Ogos lalu itu menerangkan mengenai tanggungjawab majikan di dalam mendaftar dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak di bawah skim TAP dan Skim SCP.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, sesi penerangan juga termasuk mengenai kepentingan pihak majikan dalam merekodkan dengan lengkap segala butiran dan maklumat pekerja-pekerja bagi memudahkan pemeriksa TAP apabila lawatan dijalankan ke premis-premis peniagaan atau pun pejabat majikan.
Jerayawara diteruskan dengan sesi taklimat mengenai dengan tatacara penggunaan perkhidmatan perkhidmatan online TAP e-Amanah.
Setiap majikan baharu yang berdaftar di Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) juga akan didaftarkan secara automatik ke sistem online TAP, e-Amanah.
Semasa jerayawara berkenaan, majikan juga diberikan tunjuk ajar tatacara menggunakan sistem e-Amanah seperti mendaftar masuk, membuat pendaftaran pekerja yang memenuhi persyaratan, mengemas kini maklumat pekerja dan syarikat, membuat pembayaran caruman TAP dan SCP dan menyemak status pembayaran caruman bulanan pekerja.
Melalui e-Amanah, majikan tidak perlu lagi mengunjungi mana-mana kaunter TAP dan penyata akaun yang terkini boleh diperolehi melalui online sahaja.
Majikan-majikan yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai jerayawara tersebut atau mengenai perkhidmatan online e-Amanah TAP bolehlah menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel di ask@tap.com.bn.