BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Lima majikan dan lapan pekerja tempatan telah didapati masih belum didaftarkan di bawah Skim TAP dan SCP semasa Operasi Bersepadu ke premis-premis perniagaan di sekitar kawasan Kuala Belait, kelmarin.
Lima majikan yang telah gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti proses pendaftaran pekerja serta proses pembayaran caruman yang tertunggak semasa operasi telahpun diarahkan untuk membuat perjumpaan ke Pejabat Tabung Amanah Pekerja (TAP).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, 25 premis majikan telah diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Buruh cawangan Kuala Belait.
Dalam operasi itu, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh pula mendapati beberapa kesalahan daripada pihak majikan yang mana didapati beberapa orang pekerja tempatan tidak diberikan kontrak pekerjaan, penyalahgunaan jawatan yang dibenarkan, tiada pembayaran kerja lebih masa, pekerja bekerja pada hari kelepasan awam tidak dibayar gaji dua kali ganda dan kesalahan penempatan tidak selaras dengan kebenaran Lesen Pekerja Asing.
Tujuan operasi berkenaan adalah bagi memastikan majikan telah menjalankan tanggungjawab bagi pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja-pekerja tempatan ke dalam Skim TAP dan SCP selaras dengan Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan (SCP), 2009.

Pada masa yang sama ia adalah untuk memastikan majikan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Buruh bagi pekerja tempatan dan pekerja asing, selaras dengan Perintah Pekerjaan 2009.
Dengan ini, TAP mengingatkan majikan mengenai tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak ke Skim TAP dan Skim SCP.
Pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah wajib didaftarkan dan dicarumkan ke Skim TAP dan Skim SCP.
Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja di dalam tempoh percubaan. Di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja, jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Ahli yang ingin membuat sebarang aduan bolehlah mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja. Bagi ahli yang telah berdaftar ke e-Amanah, aduan bolehlah dibuat dengan mendaftar masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.
Dalam masa yang sama Jabatan Buruh juga memperingatkan majikan untuk mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh jabatan berkenaan bagi pekerja tempatan dan pekerja asing, selaras dengan Perintah Pekerjaan 2009 dan pihak jabatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya didapati majikan melakukan kesalahan berkenaan.
Operasi Bersepadu ini merupakan kali kedua diadakan bagi 2018 dan kerjasama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dalam memastikan kesejahteraan pekerja di negara ini terjaga.