Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Bagi sama-sama menjayakan sambutan Hari Menabung Kebangsaan 2024 yang disambut pada setiap 28 Mei, Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah turut menyertai siri Jerayawara Kesedaran Kewangan mulai hari ini yang mana siri pertama diadakan di Sekolah Rendah Dato Mohd Yassin, Mentiri.
Di sepanjang jerayawara itu, TAP juga mengendalikan beberapa aktiviti berkonsepkan permainan digital untuk mempromosikan celik kewangan yang memberikan impak menabung seawal peringkat pelajar sekolah rendah.
Ia adalah selaras dengan konsep jerayawara iaitu untuk meningkatkan tahap celik kewangan digital dengan harapan akan dapat meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan menabung, berdikari dari segi kewangan dan juga cara untuk menangani isu-isu kewangan.
Selain itu, terdapat juga aktiviti lain yang giat dijalankan oleh TAP antaranya program kesedaran mengenai perancangan kewangan kepada khalayak ramai melalui kerjasama dengan kementerian-kementerian dengan tujuan untuk memupuk kepentingan menyimpan bagi masa hadapan.
Di sepanjang siri jerayawara itu, TAP juga akan terlibat semasa acara penutup bagi Financial Fun Fair yang akan diadakan nanti.
Pada masa yang sama, TAP turut menyediakan perkhidmatan Perancangan Persaraan untuk ahli-ahli TAP bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam membuat perancangan persaraan.
Orang ramai yang berminat boleh menghubungi TAP di 272 2929 untuk membuat temu janji.


