Wednesday, November 27, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    TAP terima pengiktirafan ASSA di Manila

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah menghadiri Mesyuarat Lembaga ASEAN Social Security Association (ASSA) ke-41 yang diadakan pada 25 hingga 27 November di Manila, Republik Filipina.

    Dengan tema Navigating the Future of Social Security: Integration, Innovation, and Inclusion, mesyuarat kali ini telah dihoskan oleh Government Service Insurance System (GSIS), Republik Filipina.

    Turut hadir semasa acara pembukaan Persidangan ASSA ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Megawati binti Dato Paduka Haji Manan; Pengarah Urusan TAP, Haji Mohd Adfarul bin Haji Maz Adanan, serta pegawai-pegawai TAP.

    Acara diisi dengan sesi seminar dan perkongsian amalan terbaik dalam industri perlindungan sosial, yang mana pada tahun ini, TAP telah menyampaikan perkongsian mengenai Introduction of Administrator Nomination Feature under Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) iaitu satu kaedah yang membolehkan ahli-ahli SPK untuk membuat pencalonan pentadbir penama yang akan mengurus tadbir simpanan SPK setelah ahli meninggal dunia.

    Agenda mesyuarat pada hari seterusnya telah dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia yang turut memuatkan penganugerahan Pengiktirafan ASSA bagi mengiktiraf pencapaian ahli-ahli ASSA.

    Sesi bergambar ramai dalam kalangan wakil institusi-institusi yang terlibat dalam Mesyuarat Lembaga ASSA ke-41 di Manila. – GAMBAR SERAHAN TAP
    Pengarah Urusan TAP ketika menerima anugerah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia. – GAMBAR SERAHAN TAP

    TAP telah mendapat pengiktirafan ASSA di dalam kategori Continuous Improvement Recognition Award melalui projek Introduction of Administrator Nomination Feature under Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).

    Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia, Ahmad Zulqarnain Onn selaku Pengerusi ASSA 2023/2024 kepada Pengarah Urusan TAP.

    ASSA telah ditubuhkan pada 1998 dan memainkan peranan penting dalam pembangunan keselamatan sosial di rantau ini.

    Sebanyak 20 buah institusi dari negara-negara ASEAN telah menyertai ASSA iaitu dari Brunei Darussalam, Kemboja, Republik Singapura, Malaysia, Republik Indonesia, Thailand, Republik Filipina, Republik Kesatuan Myanmar, Republik Sosialis Vietnam dan Republik Demokratik Rakyat Laos.

    Mesyuarat ASSA diadakan pada setiap tahun dan memberikan ruang untuk pakar-pakar dari negara-negara ahli untuk mengongsikan idea dan pengalaman mengenai isu keselamatan sosial di rantau ini.

    Mesyuarat Lembaga ASSA ke-42 seterusnya akan dihoskan oleh Brunei Darussalam pada tahun depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda