BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Tabung Amanah Pekerja (TAP) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, memaklumkan penutupan perkhidmatan kaunter pembayaran, pendaftaran dan pengeluaran di semua cawangannya pada 31 Mac bagi penutupan akhir tahun kewangan TAP 2020-2021.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa perkhidmatan bagi kaunter pertanyaan umum dan e-Amanah pitstop akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 3 petang bagi Cawangan Ibu Pejabat dan Kuala Belait manakala itu, Cawangan Tutong dan Temburong beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 11.30 pagi dan dari pukul 1.30 petang hingga 3 petang.
Manakala itu, perkhidmatan atas talian e-Amanah, kiosk e-info TAP dan Pusat Panggilan TAP juga akan terus beroperasi seperti biasa pada hari berkenaan.
Bagi ahli Skim Tabungan Perumahan (STP), pembayaran caruman bagi Mac 2021 bolehlah dibuat melalui perbankan atas talian selewat-lewatnya pada 31 Mac 2021.
Kenyataan menyatakan bahawa perkhidmatan kaunter di kesemua cawangan TAP akan kembali beroperasi seperti biasa pada 1 April.
Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa sebarang kesukaran yang mungkin dihadapi adalah amat dikesali dan pihak TAP amat menghargai kerjasama yang diberikan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 atau 2382929 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel ask@tap.com.bn.