Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tapak baharu urus sisa buangan, kitar semula

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan telah menyewakan tapak seluas 2.1302 hektar yang terletak di Kampung Tanjong Maya, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong kepada Kehasan (B) Sdn Bhd untuk menjalankan dan memberikan perkhidmatan pengurusan sisa buangan serta aktiviti kitar semula bagi tempoh 20 tahun.

    Sehubungan dengan itu, majlis penandatanganan perjanjian bagi pengurusan sisa buangan dan aktiviti kitar semula di antara JASTRe dan Kehasan (B) Sdn Bhd telah diadakan di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, hari ini.

    Hadir menandatangani perjanjian itu bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sutan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Hajah Martinah binti Haji Tamit.

    Sementara itu, menandatangani bagi pihak Kehasan ialah pengarah-pengarah syarikat berkenaan iaitu Pengiran Dato Paduka Osman bin Pengiran Haji Petra dan Jefrey Shim Fook Lai.

    Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Mohammad Salleh dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan dan JASTRe.

    Penandatanganan itu merupakan salah satu strategi dan usaha pihak kerajaan dalam mengendalikan projek usaha sama dengan pihak swasta dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, hijau dan selamat dengan mengukuhkan dan meningkatkan keupayaan pengurusan sisa buangan di Negara Brunei Darussalam ke arah satu sistem yang bersistematik dan inklusif.

    Antara perkhidmatan yang diberikan oleh Kehasan ialah pelupusan tayar-tayar terpakai secara mesra alam iaitu dengan menggunakan teknologi pirolisis yang mampu mengitar semula tayar-tayar berkenaan untuk menghasilkan minyak bahan api iaitu pyro oil, manakala dawai keluli yang terdapat dalam tayar mampu diekstrak dan dihantar ke syarikat kitar semula untuk proses selanjutnya.

    Fasiliti tersebut telah menerima secara purata sebanyak 17,000 tayar setiap bulan setakat ini. Selain itu, fasiliti di tapak berkenaan juga boleh menguruskan dan merawat sisa-sisa buangan berbahaya seperti minyak terpakai, sisa buangan hidrokarbon, bahan-bahan kimia, air kumbahan industri dan tiub lampu jenis pendarfluor.

    Dr Nor Imtihan dan Hajah Martinah dengan Pengiran Dato Paduka Osman dan Jefrey Shim menandatangani perjanjian di antara JASTRe dan Kehasan (B) Sdn Bhd di majlis yang berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, hari ini.
    Antara yang hadir pada majlis yang berlangsung di Kementerian Pembangunan.
    Dr Nor Imtihan, Pengiran Dato Paduka Osman dan para pegawai kanan Kementerian Pembangunan bergambar ramai selepas majlis penandatanganan di Dewan Bertabur.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda