Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Tapak kuda mini tampil kelainan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Dayang Nurul Faezah

    Sudah tidak asing lagi dalam era teknologi kini, ramai yang memanfaatkan media-media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube bukan hanya untuk bersosial bersama rakan atau kenalan, menonton video atau mengetahui pelbagai isu tular tetapi juga sebagai platform untuk mencari rezeki.

    Bagi Dayang Nurul Faezah binti Muhammad Yusof, platform berkenaan lebih daripada itu, bahkan ia ibarat ‘guru’ yang telah banyak membantu dirinya untuk menerokai ilmu dalam bidang pembuatan kuih-muih terutamanya yang hangat menjadi rebutan pada musim perayaan seperti Sambutan Hari Raya Aidilfitri bahkan menjadi habuan para penggemar-penggemarnya pada hari-hari biasa.

    Berbekalkan semangat Baking with Heart, beliau yang menetap di Kampung Tanjung Nangka ini telah mengusahakan sendiri pembuatan kek tapak kuda dengan pelbagai variasi rasa di bawah Kalila Sweet Munchies sejak dua tahun lalu, di samping beberapa produk sampingan yang lain iaitu biskut Tart Cadbury dan Apam Nutella.

    Saiz kecil tampil kelainan

    Berkongsi detik melangkah ke dalam perusahaan sepenuh masa ini, Dayang Nurul Faezah mula menghasilkan kek tapak kuda berukuran kecil kira-kira 4 inci daripada lazimnya bersaiz 8 inci yang ada dijual di pasaran.

    “Meski pun saya mengetahui terlalu ramai pengusaha yang turut mengetengahkan produk sebegini, namun apa yang saya inginkan hasilkan di sini ialah kelainan tersendiri sama ada jarang atau belum dihasilkan oleh mana-mana pengusaha sebelumnya.

    Pengusaha kek tapak kuda mini, Dayang Nurul Faezah mengongsikan bahawa platform media sosial menjadi ‘guru’ untuknya menjana perniagaan.
    Di bawah nama Kalila Sweet Munchies, Dayang Nurul Faezah menghasilkan kek tapak kuda versi kecil daripada biasanya, di samping beberapa produk sampingan yang lain iaitu biskut Tart Cadbury dan Apam Nutella.

    “Maka dari situ, terhasilnya ilham untuk mencipta kek bersaiz lebih kecil daripada lazimnya, iaitu kira-kira 4 inci, kerana ia lebih senang dimakan dengan tidak perlu dipotong lagi,” ujarnya yang turut mengongsikan bahawa terdapat lima jenis inti istimewa yang ditampilkan iaitu Nutkao, Keju, Durian, Ovomaltine dan Biscoff.

    Tambahnya, biarlah dengan keunikan itu, semua orang dapat menikmati sentuhan produknya pada harga mampu milik dan juga tidak mudah berlakunya pembaziran apabila dihidangkan terus.

    Tiada kenal penat lelah

    Mengimbas kesibukan yang dihadapi semasa menerima tempahan menjelang Hari Raya Aidilfitri bulan lalu, Dayang Nurul Faezah meluah perasaan yang bercampur baur antara teruja dan gementar lebih-lebih lagi setelah menerima tempahan orang ramai dalam anggaran lebih ribuan batang tapak kuda saiz kecil sekitar sebulan atau dua bulan lebih awal pada sebelumnya.

    “Walaupun saya turut dibantu untuk menghasilkan kek tersebut, namun tenaga kami seakan-akan terasa tidak mencukupi, selain timbul kegusaran dibenak jika khuatir tidak dapat menyiapkan segala tempahan tersebut, namun inilah limpahan rezeki Allah SWT yang perlu saya syukuri sedalam-dalamnya.

    “Demi menangani masalah tidak menang tangan ketika menyiapkan segala tempahan, saya kebiasaannya mengehadkan 300 batang untuk dihasilkan dalam tempoh sehari dan apabila tiba waktu pengambilan atau penghantaran, para pelanggan akan dimaklumkan kemudian,” jelasnya lanjut.

    Cabaran dan persaingan selit keindahan

    Dalam dunia keusahawanan khususnya seni pembuatan kuih-muih ini, menurut Dayang Nurul Faezah, cabaran dan persaingan itulah sebuah keindahan dalam mencoraki perjalanan sesebuah perniagaan ini.

    “Tanpa cabaran dan persaingan itu, kita tidak akan mengetahui bagaimana cara memajukan perniagaan yang kita jalankan, menarik pelanggan dan memahami erti sebenar dalam aspek menguruskan perniagaan.

    “Perkara yang sentiasa diingat semasa mula-mula menjalankan perniagaan ini, saya dan suami membuat sendiri penghantaran ke setiap daerah di mana pada ketika itu kami menerima tempahan yang begitu banyak sehinggakan kami terpaksa makan dalam kereta demi memenuhi ketepatan masa diminta para pelanggan. Alhamdulillah kenangan suka dan duka itulah pencetus semangat kami untuk sentiasa bangkit dari hari ke hari,” kongsinya lagi.

    Tetap usaha walau tiada tempahan

    Beliau yang juga tidak lokek berkongsi ilmu ini turut menyatakan kek tapak kuda adalah kek yang sangat sensitif dan boleh dikatakan sukar untuk menghasilkannya dari segi teknik lipatannya.

    Antara tip agar lipatan tapak kuda tidak rosak, Dayang Nurul Faezah menjelaskan ketika memutar adunan seperti telur dan gula perlulah betul-betul kembang seperti bertekstur krim dan diikuti dengan bahan seterusnya agar terhasilnya sentuhan yang sempurna apabila dibakar dan dilipat.

    “Suami dan keluarga saya adalah insan-insan yang banyak memberi dorongan sepanjang saya menyelami dunia keusahawanan ini.

    “Saya mesti yakin untuk menguatkan semangat ini bukan semata-mata untuk diri sendiri malah untuk anak dan ahli keluarga yang lain, kadang-kadang memang ada masanya tiada tempahan, tetapi saya tetap meneruskan usaha untuk mengiklankan dalam media-media sosial.

    “Harapan saya memanglah ingin memajukan lagi perniagaan kecil saya ini, mungkin sekarang berniaga dalam talian, Inshaa Allah akan datang jika diberikan ada rezeki, saya ingin membuka sebuah bakeri mini untuk produk sentuhan saya ini,” ucapnya dengan nada positif semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...