Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) sentiasa memantau dan mengurus kadar penghunian tapak industri sedia ada bagi memastikan penggunaan tanah perindustrian yang optimum serta menyokong pertumbuhan sektor perniagaan dan pelaburan di Negara Brunei Darussalam.
Setakat ini, kadar penghunian bagi tapak-tapak perindustrian di bawah kawalan LKEB adalah sekitar 61 peratus secara keseluruhannya dan masih terdapat beberapa lot tapak yang telah diperuntukkan bagi pelaburan baharu terutama dalam sektor pembuatan, logistik dan perkhidmatan.
Di samping itu, kompleks Ready-Built Factories (RBF) yang dibina khusus bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan turut mencatat kadar penghunian yang memberangsangkan iaitu sekitar 81 peratus sekali gus menunjukkan perkembangan yang positif dalam kalangan PMKS tempatan terhadap kemudahan yang sedia ada.
Manakala perkembangan terkini mengenai kadar penghunian tapak industri sedia ada di Daerah Tutong iaitu di Tapak Perindustrian Serambangun mempunyai kadar penghuni sebanyak 75 peratus dan Tapak Perindustrian Bukit Panggal, pada masa ini masih lagi kosong namun sedang giat aktif untuk diiklankan kepada pengusaha.
Sementara itu, bagi tapak perindustrian di Daerah Temburong iaitu di Tapak Perindustrian Batu Apoi, setakat ini mempunyai kadar penghunian sebanyak 7 peratus dan di Tapak Komersial dan Perindustraian Labu Square A, buat masa sekarang sedang dimajukan dengan prasarana dan kemudahan seperti bilik sembahyang dan tandas awam di mana tapak dijangka siap pada suku kedua 2025.
Penerangan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Chong Chin Yee mengenai kadar penghunian tapak-tapak industri di negara ini di bawah kawal selia LKEB khususnya di Daerah Tutong dan Temburong semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa berdasarkan statistik dan memandangkan kadar penghunian di tapak perindustrian masih dikira rendah di kedua-dua daerah tersebut, maka tiada keperluan untuk menambah tapak perindustrian pada masa ini.
Walau bagaimanapun, tambahnya, pihak kerajaan melalui LKEB akan sentiasa bersedia untuk menambah tapak baharu dengan prasarana asas jika permintaan dijangka meningkat dari semasa ke semasa.
Yang Berhormat Dato seterusnya berkata kerajaan telah bersedia dan akan mewartakan beberapa tanah perindustrian tambahan untuk dimajukan di Daerah Tutong dan Temburong jika terdapat permintaan tambahan nanti. Di antara tapak-tapak yang telah dikenal pasti termasuk Kampung Bukit Pasir, Zon 1 dengan keluasan 500 hektar, Kampung Bukit Pasir, Zon 2 seluas 98 hektar, Kampung Bukit Beruang seluas 10 hektar serta Kampung Labu Estate seluas 4 hektar.
