Oleh Jailani Hasan
LABUAN – Tapak selaman popular dan terbaharu Malaysia bakal di promosi secara global menerusi platform antarabangsa DEMA Orlando (Diving Equipment and Marketing Association) 2017 pada 1-4 November di Orlando, Florida, Amerika Syarikat.
Duta Pelancongan Malaysia untuk segmen menyelam (2017-2019) yang juga penyelam terkenal antarabangsa Clement Lee akan menjadi jurucakap Malaysia dan membuat pembentangan bagi mempromosi aktiviti selam di Malaysia pada 2 Nov.
Anak kelahiran Labuan, Clement, 65, kini sedang mempromosi aktiviti selam di pulau yang kurang dikenali seperti Matabuan, Bohey Dulang, Si Amil dan Denawan bagi mengurangkan perhatian ramai terhadap Pulau Sipadan sekali gus memelihara hidupan air di pulau itu.
Malaysia merupakan antara destinasi selaman pilihan dunia dengan persekitaran pusat habitat marin terkaya di Lembangan Indo-Pasifik.
Dengan kepelbagaian bio hidupan marin yang menakjubkan, lautan jernih yang tenang, pulau-pulau yang cantik dan pantai yang menakjubkan membuatkan penyelam yang pernah berkunjung sentiasa datang kembali.
Tapak yang lain
Antara tapak selaman lain di Malaysia yang akan turut dipromosi ialah Pulau Tioman dan Aur di Johor, Pulau Kapas dan Perhentian di Terengganu dan Mantanani serta Mataking di Sabah.
Ketika ditemui Bernama baru-baru ini, beliau berkata tapak selaman skuba terkini di Labuan iaitu Vernon Bank turut tersenarai bagi promosi global.
“Bangkai kapal di Labuan iaitu bangkai kapal Amerika, Australia, Cement dan Blue Water turut tidak ketinggalan dan akan dipromosikan, sebagai antara tapak selaman popular Malaysia,” kata Clement.
Beliau yang berkecimpung dalam industri selaman sejak lebih 30 tahun merupakan antara perintis pelancongan menyelam di Sabah dan juga Pulau Sipadan. “Saya masih bergiat aktif dalam selaman skuba dan program konservatif di seluruh negara serta beberapa tempat di dunia,” katanya.
Beliau yang baru pulang dari Taipei minggu lepas selepas dijemput oleh Tourism Malaysia Taipei dan Lion Travel membuat pembentangan dan ucapan mengenai tapak-tapak selaman serta destinasi di Malaysia.
Anugerah DEMA
Clement menerima Anugerah DEMA Reaching Out pada 2008 di Las Vegas dan menjadi satu-satunya penyelam di rantau ini yang tersenarai sebagai International Scuba Diver Hall of Fame pada 2011.
Beliau yang dilantik sebagai penasihat selaman Tourism Malaysia pada 2015 telah banyak mengembara bagi mempromosi aktiviti selaman di Malaysia dan membuat pembentangan di seluruh dunia.
Sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam perkembangan aktiviti selaman rekreasi di Sabah, Clement, daripada Borneo Divers turut tersenarai dalam ‘International Scuba Diving Hall of Fame’ (ISDHF) pada 8 Nov 2011 di Pulau Cayman. Diasaskan oleh Menteri Pelancongan Pulau Cayman pada 2000, ISDHF adalah sebagai menghargai mereka yang banyak menyumbang dalam bidang ini.
Jurugambar bawah air antarabangsa (pengasas Seahorse Production) Rudy Whitworth yang turut bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam mempromosikan aktiviti selaman Malaysia juga dijadualkan turut membuat pembentangan mengenai tapak selaman Malaysia yang terkini.
“Selepas menyelam ke beberapa tapak selaman bersejarah di perairan Labuan yang saya rasakan sangat menarik dan berpotensi, Labuan akan dijadikan sebahagian besar dalam pembentangan saya pada 3 Nov ini,” katanya kepada Bernama.
Pembentangan skuba
“Saya bakal mengadakan dua pembentangan tayangan mengenai skuba, yang pertama bertajuk ‘Lokasi Baharu Aktiviti Menyelam di Malaysia’ yang mengandungi maklumat dan imej setiap lima lokasi yang saya pergi. “Ia diadakan di DEMA dan pembentangan kedua bertajuk ‘Bangkai kapal di Malaysia’.
“Ia akan menekankan peluang menyelam di bangkai kapal di empat daripada lima lokasi di Tioman, Kuching, Miri dan Labuan dan pembentangan seterusnya bagi pertunjukan skuba di Chicago bertajuk ’Dunia Bawah Air Kita’ dijadualkan pada hujung Februari 2018.
Pada DEMA, penyelam profesional dan pemain industri dari serata dunia akan berkumpul di Orlando bagi mengambil bahagian dalam pameran perdagangan dunia untuk aktiviti menyelam, aksi sukan air dan industri pelancongan kembara.
Peserta pameran akan mempamerkan produk serta perkhidmatan terkini mereka dalam bidang selaman dan peralatan sukan air, pakaian renang, bot, selaman dan pelancongan kembara, latihan selaman, penerbitan berkaitan aktiviti menyelam. Antara yang hadir ialah penyelam dan pembekal sukan air, pemilik resort selaman, agensi latihan selaman, agensi pelancongan dan wakil media.
Di luar tapak pameran, DEMA menyediakan pelbagai program pendidikan dan acara bagi profesional industri termasuk seminar mengenai topik industri terkini dan acara utama bagi membentuk rangkaian industri, majlis Anugerah DEMA. – Bernama