TEXAS, 5 MEI – Tapak syarikat roket SpaceX milik Elon Musk di Texas Selatan kini merupakan bandar rasmi dengan nama galaksi, ‘Starbase’.
Undian yang diadakan pada Sabtu bagi mengiktiraf Starbase sebagai sebuah bandar telah diluluskan berdasarkan margin besar dalam kalangan kumpulan kecil pengundi yang menetap di sana dan kebanyakannya merupakan pekerja SpaceX.
Menurut Jabatan Pilihan Raya Daerah Cameron, keputusan akhir menunjukkan 212 undi menyokong dan hanya enam membantah.
Musk meraikannya di platform sosial miliknya, X, dengan menyatakan ‘ia adalah bandar sebenar!’
Starbase merupakan fasiliti dan tapak pelancaran untuk program roket SpaceX yang mempunyai kontrak dengan Jabatan Pertahanan AS dan NASA, serta berhasrat menghantar angkasawan kembali ke Bulan dan seterusnya ke Marikh.

Musk mula mengemukakan idea mengenai Starbase pada tahun 2021 dan kelulusan bandar baharu itu sememangnya telah dijangka.
Daripada 283 pengundi yang layak, kebanyakannya dipercayai terdiri daripada kakitangan SpaceX.
Kemenangan itu merupakan kejayaan peribadi buat Musk. Popularitinya semakin menurun sejak beliau menjadi wajah utama dasar pemotongan pekerjaan dan perbelanjaan persekutuan Presiden Donald Trump.
SpaceX secara amnya mendapat sokongan daripada pegawai tempatan kerana menjana pekerjaan dan pelaburan di kawasan itu.
Namun, penubuhan sebuah ‘bandar syarikat’ rasmi turut menerima kritikan, termasuk kebimbangan Musk akan menguasai lebih banyak kawalan terhadap kawasan itu termasuk berkuasa menutup akses ke pantai awam dan taman negeri untuk tujuan pelancaran.
Langkah itu dibuat ketika SpaceX sedang memohon kebenaran daripada pihak berkuasa persekutuan untuk meningkatkan jumlah pelancaran roket tahunan dari lima kepada 25 kali setahun. – AP