Tuesday, October 15, 2024
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tapak Warisan Dunia penting pulihara kepelbagaian bio

    PARIS, 1 SEPT – Kawasan yang dilindungi program Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) hanya meliputi kurang daripada 1 peratus permukaan bumi, namun menjadi habitat kepada 20 peratus spesies yang banyak menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti, menurut kajian baharu.

    Dalam satu kenyataan bersama dengan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), UNESCO berkata lebih 75,000 spesies tumbuhan dan lebih 30,000 spesies mamalia, burung, ikan, reptilia dan amfibia mendiami Tapak Warisan Dunia, yang dilindungi di peringkat antarabangsa menerusi Konvensyen Warisan Dunia, lapor Xinhua.

    “Tapak ini dianggarkan melindungi lebih 20,000 spesies terancam, termasuk sehingga satu pertiga daripada semua gajah, harimau dan panda dan sekurang-kurangnya satu per sepuluh daripada beruk besar, singa dan badak sumbu,” kata mereka dalam laporan penilaian itu.

    Tapak Warisan Dunia juga telah menjadi barisan pertahanan terakhir bagi sesetengah spesies yang kini di ambang kepupusan.

    Organisasi tersebut menggalakkan negara anggota supaya mengutamakan Tapak Warisan Dunia dalam strategi dan pelan tindakan kepelbagaian bio di negara masing-masing, kerana ia merupakan kunci untuk menggerakkan tindakan dalam Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (GBF). – Bernama

    Seekor gorila gunung berehat di hutan tebal Taman Negara Volcanoes, Rwanda, 31 Ogos. Ketua UNESCO, Audrey Azoulay melawat taman itu bagi memeriksa populasi gorila yang semakin bertambah sejak ia melancarkan program biosfera di sana 40 tahun lalu, satu kejayaan besar bagi UNESCO. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda