Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taqiyuddin, Sazzlan pertahan emas ganda putra

    HANOI, 11 MEI – Aksi mantap dengan kepelbagaian teknik yang ditampilkan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga memberi kelebihan kepada gandingan pesilat Malaysia itu untuk mempertahankan pingat emas acara seni ganda putra pada Sukan SEA ke-31 di sini kelmarin.

    Pasangan berkenaan mengungguli acara final tersebut yang berlangsung di Pusat Sukan Bac Tu Liem (Bac Tu Liem Sporting Center), setelah memperoleh 9.905 mata untuk menewaskan pencabar mereka dari Singapura, Muhammad Hazim Mohammad Zaque dan Muhammad Haziq Mohammad Zaque.

    Kejayaan Taqiyuddin dan Sazzlan yang memenangi kategori tersebut pada Sukan SEA 2019 di Filipina, sekali gus memberikan pingat emas pertama Malaysia dalam acara pencak silat pada temasya sukan berkenaan kali ini. Pencapaian juara dunia 2018 itu juga menghadiahkan emas ketujuh buat kontinjen Malaysia setelah acara terjun menyumbangkan enam pingat emas setakat ini. 

    Kejayaan meraih pingat emas di Hanoi itu adalah ketiga buat Taqiyuddin yang sebelum ini mengungguli acara tersebut pada edisi 2017 di Kuala Lumpur berpasangan dengan Rosli Sharif sebelum mula bergandingan dengan Sazzlan pada temasya 2019 di Filipina. – Bernama

    Mohd Taqiyuddin Hamid (kiri) dan Sazzlan Yuga (kanan) meraih pingat emas Malaysia bagi acara seni ganda putra Sukan SEA ke-31 kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda