Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Bagi memantapkan serta menambah lagi ilmu pengetahuan dan ajaran agama Islam di kalangan mualaf, seramai 43 peserta telah mengikuti program Tarbiyah Menjelang Ramadhan Bersama Mualaf Tahun 1446H/2025M bertempat di Dewan Serbaguna, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie, baru-baru ini.
Program anjuran PDI melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Muallaf) diharap dapat meningkatkan kesedaran akan kepentingan mendalami serta menghayati ilmu agama Islam untuk diterapkan dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi menjelangnya bulan Ramadhan.
Pengisian program termasuk ceramah bertajuk Kaifiyat Sembahyang Sunat Tarawih di Bulan Ramadhan yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama, PDI, Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin.
Antara intipati ceramah yang disampaikan ialah mengenai Sembahyang Sunat Tarawih seperti waktu sembahyang, pensyariatan, kelebihan, rakaat, niat, dan cara menunaikannya dan disertai juga dengan Sembahyang Sunat Witir.
Dengan adanya program seumpama ini, diharap akan dapat meningkatkan lagi kefahaman dan pengetahuan para mualaf tentang Sembahyang Sunat Tarawih sekali gus menyuntik semangat untuk mengerjakannya dengan penuh keimanan dan keikhlasan.
