Saturday, February 8, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarian Happy Dancing tingkat kecergasan di China

    JIAMUSI – Ratusan penari berpusing serentak di tepi sungai di timur laut China, menggoyangkan pinggul dan bahu dalam rutin luar biasa tetapi digemari yang telah menarik perhatian seluruh negara itu.

    China mempunyai budaya tarian lapangan awam yang meriah, dengan barisan orang tua yang membanjiri kawasan lapang bandar pada waktu subuh dan senja untuk berjoget mengikut rentak irama muzik elektronik yang bergema kuat.

    Walaupun kadang-kadang terdapat aduan tentang bunyi bising, pihak berkuasa secara umumnya menganggap perhimpunan aerobik itu baik untuk menjaga kesihatan awam dalam masyarakat yang semakin menua.

    Dan salah satu program tarian paling popular di negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah muncul dari jalur dan laluan sunyi di wilayah Heilongjiang.

    Peserta dalam Jiamusi Happy Dancing melakukan beberapa siri pergerakan yang tidak konvensional, dari gaya jalan mendada hingga memusingkan lengan mereka seperti kincir angin.

    Pengasas Jiamusi Happy Dancing Yu Jicheng membimbing penduduk tempatan di dataran Jiamusi, wilayah Heilongjiang di timur laut China. – Gambar AFP
    Penduduk tempatan mengambil bahagian dalam latihan aerobik yang dipanggil Jiamusi Happy Dancing di dataran wilayah Heilongjiang, timur laut China. – Gambar AFP

    Pengasas, Yu Jicheng, 73, mengatakan senaman itu menonjol kerana “fokus pada pinggang, perut, bahu dan pinggul”.

    “Semua gerakan dilakukan saat bergerak, tidak seperti rutin sedentari yang disiarkan di radio,” kata pesara awam itu kepada AFP.

    Yu mereka bentuk rutin itu pada tahun 2008 dan masih mengajar kelas awam harian di Jiamusi, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira dua juta penduduk berhampiran sempadan Rusia.

    Tegap dan cergas dengan postur lurus, dia sentiasa memantau kelas sehingga 500 peserta, sentiasa menunjukkan setiap gerakan dan mengherdik mereka yang salah langkah.

    “Matlamat semua itu adalah kesihatan. Konsep kami adalah: awda bersenam untuk sihat dan gembira, dan awda melakukannya dengan bergantung pada diri sendiri,” katanya setelah mengakhiri sesi awal pagi.

    “Ia melegakan keletihan, membantu awda menurunkan berat badan dan memastikan awda cergas,” tambahnya.

    China menghadapi krisis demografi yang semakin meruncing apabila ratusan juta orang memasuki tahun senja mereka dalam beberapa dekad akan datang, memberikan tekanan baharu kepada masyarakat dan sistem penjagaan kesihatan negara yang rapuh.

    Yu berpendapat bahawa rutinnya dapat membantu mengatasi perubahan tersebut, dengan mendakwa bahawa ia membantunya menurunkan berat badan sebanyak 30 kilo sejak dia berumur 50 tahun dan membawanya kembali dalam julat berat badan yang sihat.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bandar-bandar lain di China juga telah membuka cawangan Happy Dancing.

    Peserta tetap, Zhang berkata lapan tahun latihan itu telah menyaksikan kesihatannya jauh lebih baik.

    “Saya sudah pasti merasakan kesannya, ia memperbaiki sakit belakang saya dan tiada lagi perut buncit,” kata lelaki berusia 65 tahun itu kepada AFP.

    “Ia sangat bagus untuk kecergasan fizikal, kerana ia sistematik dan saintifik dalam memanfaatkan setiap sendi tubuh,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda