Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Tarian tradisional Puak Murut Brunei bakal dipersembahkan dan disaksikan oleh para pengunjung dan para peserta dari negara-negara ASEAN yang menyertai Sambutan Pesta Belia Singapura 2017, Youth Hearts yang akan berlangsung di Outdoor Theatre, Esplanade, Republik Singapura.
Oleh itu, rombongan seramai 10 orang pelajar dan seorang guru pembimbing dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar dengan diketuai oleh Pegawai Pelajaran Kanan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Hajah Hajidah binti Haji Abdul Wahab, hari ini, telah berlepas ke Singapura bagi menyertai pesta belia berkenaan.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada rombongan ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai dan kakitangan dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum serta ibu bapa dan keluarga rombongan yang mewakili Negara Brunei Darussalam ke pesta belia berkenaan.
Rombongan yang terdiri daripada guru pembimbing iaitu Pegawai Pendidikan Sekolah Menengah Sultan Hassan, Awang Abdul Hamid bin Aji bersama 10 orang pelajar sekolah berkenaan iaitu Dayang Angelica binti Ramli, Dayang Nur Izzatul Husna Haji Khairul Hazmi, Dayang Nurul Hamizah binti Mohd Zainal, Dayang Siti Norol Amal Miza Yati binti Raimezul, Dayang Izyan Nadhirah binti Mohd Azrin, Dayang Nur Ummi Farahiyah binti Mohd Amin, Dayang Nur Syafiqah binti Ibrahim, Dayang Nur Rabiatul Adawiah binti Shaban, Paul Richard Betua dan Joestin Tan berada di Singapura bermula hari ini hingga 1 Julai nanti di mana mereka dijadualkan untuk membuat persembahan mereka pada 30 Jun nanti.

Pesta Belia Singapura merupakan pesta seni tahunan yang dikendalikan bagi meraikan pelbagai bakat seni para belia di mana Negara Brunei Darussalam menerima jemputan daripada Kementerian Pendidikan Singapura untuk sama-sama menyertai dan mempersembahkan tarian tradisional Brunei di pesta berkenaan.
Rombongan pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar akan mempersembahkan tarian tradi-sional Puak Murut, Umak Rumak di pesta berkenaan di mana ia memberikan peluang kepada mereka untuk memperkenalkan dan mendedahkan lagi salah satu tarian tradisional Brunei kepada para
penonton dari luar negara.
Kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar berkenaan merupakan juara Pertandingan Tarian Etnik Brunei antara Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab tahun 2016.