Wednesday, July 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarian singa ajar Saifuddin, Irfan semangat kerjasama, disiplin

    KUANTAN – ‘Singa hijau’ kelihatan lincah melompat daripada satu tiang ke satu tiang sambil mempersembahkan pelbagai aksi akrobatik, mengikut koreografi tarian yang disesuaikan dengan rentak pukulan gendang.

    Di sebalik kostum singa itu ialah dua rakan baik, Muhammad Saifuddin Abdullah dan Muhammad Irfan Hariss Yusnizamri, yang sepanjang persembahan turut fokus mendengar pukulan gendang oleh Hillary Ng Jing Xi, 14, supaya tiada kesilapan pada tarian mereka.

    Muhammad Saifudin, 17, yang merupakan ahli Kelab Tarian Naga dan Singa Persatuan Pembinaan Kuantan, mengakui jadualnya terutamanya pada hujung minggu padat menjelang perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, dan keadaan itu boleh berlarutan hingga tiga bulan selepas perayaan tersebut.

    “Kami berlatih setiap malam supaya serasi. Tarian singa memerlukan kerjasama 50-50, kerana keselamatan terutamanya semasa berada di atas tiang, menyebabkan sangat penting untuk kami faham dan berkomunikasi sepanjang persembahan.

    “Jika terlupa rentak atau cedera semasa melakukan persembahan, kami perlu pantas mencari jalan untuk memaklumkan rakan yang memukul gendang untuk menukar tempo, bagi kami meneruskan tarian tanpa penonton menyedari kesukaran yang sedang dialami,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

    Muhammad Saifuddin dan Muhammad Irfan Hariss mempamerkan aksi lincah melompat daripada satu tiang ke satu tiang sambil mengikut koreografi tarian, yang disesuaikan dengan rentak pukulan gendang oleh Hillary. – Bernama
    Kaki Muhammad Irfan Hariss yang cedera ketika berlatih di Kelab Tarian Naga dan Singa Persatuan Pembinaan Kuantan. – Bernama
    Gambar Bernama
    Gambar Bernama
    ‘Singa hijau’ yang digunakan oleh Muhammad Saifuddin dan Muhammad Irfan Hariss ketika berlatih di Kelab Tarian Naga dan Singa Persatuan Pembinaan Kuantan. – Bernama

    Muhammad Saifuddin yang berada di bahagian kepala berkata kepercayaan merupakan aspek paling penting, kerana mereka di hadapan bergantung sepenuhnya kepada rakan di bahagian ekor, untuk mengangkat mereka semasa beraksi.

    Selain itu, keserasian antara ‘kepala dan ekor amat dituntut’, kerana gerakan tarian memerlukan mereka beraksi di tiang setinggi antara 1.3 meter (m) hingga 2.5m, yang disusun pada jarak antara 140 sentimeter (cm) ke 180cm.

    Bagi Muhammad Irfan Hariss, 17, minat untuk menyertai tarian singa bermula sejak kecil, selepas kerap menonton persembahan tarian itu sebelum meminta izin daripada orang tuanya untuk menyertai kelab itu dua tahun lepas.

    “Mereka begitu baik dan menghantar saya berlatih. Tarian singa juga melatih saya lebih berdisiplin. Saya perlu melakukan ulang kaji dan menyiapkan kerja sekolah pada sebelah petang, supaya pelajaran tidak terganggu walaupun berlatih setiap malam.

    “Bonus, saya dapat belajar bahasa Mandarin. Walaupun tidak boleh bertutur dalam bahasa itu, saya dapat memahami perkataan dan arahan mudah, kerana sering bergaul dengan rakan berbangsa Cina di sini,” katanya yang turut pernah melakukan persembahan di luar Pahang dengan kelab itu.

    Melihat anak tunggal itu beraksi, menimbulkan persoalan jika dia tidak pernah terjatuh, yang mana Muhammad Irfan Hariss sambil tersenyum menarik kaki seluar kostum dipakainya, bagi menunjukkan pendakap pergelangan kaki yang digunakannya.

    “Buku lali saya pernah terseliuh. Tangan juga pernah cedera kerana ditindih badan semasa jatuh dari tiang. Jika ditanya, kami semua pernah cedera, malah yang lebih teruk ada yang patah kaki atau tangan. Tapi itu semua perkara biasa,” katanya.

    Sementara itu, Hillary yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik, secara berseloroh menyifatkan kelab itu merupakan ‘gimnasium’ kepada dia dan rakan-rakan, kerana tarian singa atau naga, masing-masing melibatkan banyak pergerakan dan menggunakan tenaga.

    Selain tarian, tugas memukul gendang juga merupakan senaman buat gadis bertubuh kecil itu kerana perlu memukul dengan lebih kuat untuk disesuaikan dengan pukulan rakan lelaki.

    “Untuk tarian singa, saya tidak cukup kuat untuk mengangkat rakan jika diletakkan di bahagian ekor.

    Bagaimanapun, berada di posisi kepala juga memerlukan kekuatan untuk mengangkat kostum kepala singa, yang boleh tahan juga beratnya, terutamanya jika sudah beraksi untuk beberapa lama,” katanya.

    Dia yang menyertai kelab itu sejak di bangku sekolah rendah, berkata mereka perlu sentiasa peka dengan setiap gerakan singa jika ditugaskan memukul gendang pada persembahan, kerana temponya perlu selari dengan rakan yang sedang beraksi.

    “Kita boleh tahu jika mereka ada masalah daripada aksi yang dilakukan. Tapi persembahan perlu diteruskan dan kita boleh menukar rentak untuk membantu mereka. Tarian singa itu atas dasar semangat setia kawan dan itu yang menentukan kejayaan persembahan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda