Thursday, January 30, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarian singa meriahkan Sambutan TBC

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Tokong Cina Teng Yun yang terletak di Jalan Kianggeh di ibu negara menjadi tumpuan hari ini apabila masyarakat Tionghua di negara ini menyambut Tahun Baharu Cina (TBC), sekali gus menandakan permulaan Tahun Ular dalam kalendar Cina.

    Seperti lazimnya, kaum Tionghua mendahului sambutan dengan berkunjung ke tokong untuk melakukan upacara kesyukuran, sekali gus menyaksikan acara persembahan tarian singa. Persembahan tarian singa yang berwarna-warni itu bermula sejak jam 7:30 pagi yang dipersembahkan oleh pasukan tarian singa yang antaranya Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Menengah Chung Hwa dan Unity Charity Association.

    Dalam kemeriahan itu, masyarakat Tionghua serta orang ramai yang datang juga tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan itu, ada juga yang mengambil kesempatan memberikan sampul merah kepada kumpulan tarian singa yang dimasukkan melalui mulut maskot singa berkenaan.

    Bukan sahaja masyarakat Tionghua, malah masyarakat daripada berlainan bangsa juga mengambil kesempatan menyaksikan persembahan berkenaan.

    Dayang Marinah binti Hasmat, dari Kampung Perumahan Bukit Beruang di Daerah Tutong yang telah datang bersama keluarga seawal jam 7:30 pagi bersama dua orang anak perempuannya yang masing-masing berusia lapan dan 13 tahun, mengongsikan perasaan teruja anak-anak untuk melihat kemeriahan suasana TBC di tokong berkenaan.

    “Setelah sekian lama tidak menyertai kemeriahan Sambutan TBC di ibu negara, saya telah merancang untuk membawa anak-anak melihat lebih dekat lagi kemeriahan Sambutan TBC dua hari sebelum sambutan,” jelasnya.

    Persembahan tarian singa yang diadakan di Tokong Cina Teng Yun di ibu negara. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Seorang kanak-kanak didekati maskot singa semasa persembahan tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Masyarakat Tionghua bersama orang ramai berlainan bangsa di negara ini turut memeriahkan Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di ibu negara, sekali gus menandakan permulaan Tahun Ular dalam kalendar Cina. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Suasana Sambutan TBC yang diadakan di Tokong Cina Teng Yun, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda